Khalid tokoh terbaik pulih MAS – Mohammad Tawfik Yaakub

Pengambilalihan Guthrie melalui PNB, pengumpulan dana 3.2 Billion, kesepakatan perjanjian air Projek Langat 2, pengambilalihan syarikat konsesi air kerajaan negeri, program air 20 meter padu merupakan sebahagian kejayaan yang dirintis Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai tokoh korporat dan ketua kerajaan negeri Selangor.

Pemilihan beliau sebagai menteri besar pertama selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor pada tahun 2008 diyakini berdasarkan rekod cemerlang beliau yang lalu sebagai tokoh korporat disegani di Malaysia.

Maka tidak hairanlah sebuah negeri paling maju dan terkaya di negara ini mampu dikendalikan seorang tokoh seperti Khalid meskipun beliau berhadapan dengan cabaran yang besar untuk mengawal nafsu politik rakus sebilangan ahli-ahli politik partinya di Selangor.

Akibat mempertahankan integriti dan urus tadbir yang telus, beliau akhirnya tewas dalam percaturan politik dalam kepimpinan PKR yang berusaha menyingkirkannya dari posisi menteri besar Selangor.

Semasa tempoh penggal pertama menjawat jawatan MB Selangor, beliau disanjung kawan dan lawan sebagai tokoh terbaik dalam urus tadbir di negeri Selangor.

Atas dakwaan “dosa” tidak mendengar nasihat dan mempertahankan kewibawaan urus tadbir yang baik, beliau dipecat parti yang selama ini menyanjung kredibiliti dan menerima keahlian seumur hidupnya.

Maka pengunduran Khalid sebagai MB Selangor harus diambil perhatian serius kerajaan persekutuan dengan mengangkat semula kedudukan beliau untuk menerajui proses pemulihan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Pelantikan beliau menerajui proses pemulihan MAS dijangka memberi pulangan yang berbaloi terhadap keuntungan dan imej syarikat penerbangan terulung di negara ini berdasarkan rekod pengalaman serta kejayaan Khalid.

“Dosa” politik di yang didakwa dilakukan Khalid diyakini dapat ditebus dan terhapus melalui pelantikan beliau untuk menerajui MAS sekaligus membuktikan sikap jiwa besar kerajaan persekutuan dalam mendahulukan kepentingan rakyat Malaysia.

Diyakini hati rakyat Selangor dan Malaysia akan sedikit terubat melalui pemilihan Khalid untuk menerajui MAS yang berpusat di KLIA sebagai nadi utama Selangor dan Malaysia. – 2 September, 2014.

* Penulis ialah Penganalisis politik dan Calon PhD Universiti Malaya

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.