KPWKM kaunseling keluarga MH17 di luar Malaysia

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menawarkan khidmat kaunseling kepada waris dan ahli keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang berada di luar negara.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Wisma Putra bagi melaksanakan perkhidmatan tersebut sekiranya terdapat permintaan daripada waris penumpang MH17 di luar negara.

"Sekiranya ada permintaan daripada waris dan ahli keluarga MH17 yang bukan warganegara Malaysia atau rakyat Malaysia yang berada di luar negara, kita akan hubungi Wisma Putra untuk kenal pasti pakar kaunseling di sana untuk memberi perkhidmatan," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Suara Anda Tanggungjawab Utama (Satu) di kementeriannya di Putrajaya.

Susulan tragedi MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada Jumaat lalu, kementerian itu kini mengambil alih tugas menjaga kebajikan ahli keluarga dan waris mangsa nahas tersebut.

Pengumuman itu dibuat Rohani semalam ketika melawat keluarga mangsa yang ditempatkan di Hotel Marriott, Putrajaya.

"Saya mendapat panggilan daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang memberitahu saya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta saya mengambil tugas menjaga kebajikan keluarga penumpang MH17, katanya.

Katanya, setakat ini kementerian masih belum menerima sebarang permintaan daripada waris dan ahli keluarga luar negara untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

"Setakat ini belum ada lagi. Ini cadangan kita setelah melihat apa yang berlaku kepada keluarga Noor Rahimah Mohd Noor, salah seorang penumpang MH17.

"Saya berjumpa dengan waris Rahimah semalam. Kita cadangkan memberi kaunseling kepada adiknya Noor Aini terlebih dulu sebelum dia terbang ke Geneva supaya dia ada asas untuk menerangkan kepada abang iparnya (suami Rahimah)," katanya.

Selain itu, Rohani berkata, harapan ahli keluarga dan waris MH17 adalah membawa pulang jenazah mangsa.

"Untuk MH17 ini, closure (penutup) kita nampak cuma tinggal urusan membawa jenazah atau apa saja yang ada untuk dibawa balik ke Malaysia,” katanya.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Ukraine setelah ditembak Khamis lepas, dipercayai perbuatan kumpulan pemberontak. – 21 Julai, 2014.