Kumpulan agama desak pemimpin bukan Islam lawan undang-undang penukaran agama anak

OLEH JENNIFER GOMEZ

Pemimpin bukan Islam Barisan Nasional (BN) yang lemah dalam keputusan Pilihan Raya 2013 dan Umno menyelamatkan gabungan pemerintah itu, menghadapi ujian terbesar selepas pilihan raya.

Sekurang-kurangnya dua menteri dan seorang pemimpin MCA menerima desakan daripada kumpulan berasaskan agama untuk berpendirian tegas melawan Rang Undang-Undang yang dibentangkan kerajaan minggu lalu bagi membenarkan ibu bapa tunggal menukar agama anak kecil mereka, walaupun seorang lagi pasangan tidak bersetuju.

Rang Undang-Undang ini dilihat oleh bukan Islam sebagai pengkhianatan kedua kerajaan selepas pemimpin menukar pendirian berhubung bukan Islam boleh menggunakan perkataan Arab Allah, sebagai rujukan kepada tuhan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup diberitahu semalam oleh pemimpin pelbagai agama beliau harus menyampaikan mesej jelas kepada Kabinet.

Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) bertemu dengan Kurup yang juga menteri menguruskan perpaduan nasional dan integrasi, menuntut dua klausa kontroversi dikeluarkan daripada Rang Undang-Undang itu.

Mereka mahu perubahan atau penarikan pindaan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013.

Timbalan Presiden MCCBCHST, Jagir Singh berkata mereka menyampaikan mesej jelas kepada menteri itu dan menambah: “Menteri itu memberitahu, beliau akan menyampaikan mesej kami kepada Kabinet esok.”

Klausa kontroversi didesak untuk dikeluarkan daripada Rang Undang-Undang itu adalah Seksyen 107(b) – membenarkan penukaran agama anak oleh salah seorang ibu bapa dan tiga klausa kecil dalam Seksyen 51 yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah membuat keputusan sama ada seseorang itu Islam atau tidak.

Jagir berkata, MCCBCHST juga bertemu dengan wakil daripada MCA dalam sebuah mesyuarat dipengerusikan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai dan parti berasaskan Cina itu juga bersetuju supaya dua klausa itu dikeluarkan.

“Kami berkongsi pandangan sama,” katanya.

Petang semalam, Kurup turut bertemu dengan Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur yang menyatakan pendirian mereka berhubung Rang Undang-Undang itu.

Presidennya, Viola Lettice DeCruz, berkata menteri meminta pihaknya menghantar satu laporan komprehensif berhubung kebimbangan mereka dan beliau akan membawanya ke Kabinet.

Seorang lagi peguam yang hadir dalam mesyuarat itu, Francis Pereira berkata: “Sebagai seorang menteri yang menguruskan perpaduan nasional dan integrasi, beliau kelihatan berminat dengan apa yang kami mahu katakan. Kami sekarang berharap beliau akan membawanya kepada Kabinet.”

Sebelum itu seorang lagi pemimpin bukan Islam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Paul Low mengatakan klausa 107B Rang Undang-Undang itu tidak seharusnya dibenarkan.

“Klausa itu tidak adil dan menafikan hak seorang lagi ibu bapa berhubung kebajikan anaknya, dan anak juga dinafikan hak untuk mendapatkan panduan daripada kedua-dua ibu bapa.”

Kenyataan beliau itu selepas komen dari Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menentang Rang Undang-Undang dan kekal dengan pendirian penukaran agama anak kecil perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa.

Nazri menyifatkannya sebagai "tidak adil" kepada salah seorang penjaga berkenaan sekiranya Rang Undang-Undang kontroversi baru itu dipinda.

"Saya sebagai seorang peguam dan Muslim juga, saya tidak selesa dengan keadaan ini," katanya – 4 Julai, 2013.