Kupon tidak boleh bayar bil atau ubat, penerima BR1M mahu wang tunai

Dengan mulut untuk disuap, ubat untuk dibeli dan gaji bulanan yang hanya ala kadar, barangan mewah seperti telefon pintar adalah barang terakhir dalam senarai membeli-belah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berpendapatan rendah.

Oleh itu, rancangan Putrajaya menerima pakai sistem tanpa tunai bagi mengelak BR1M disalah guna dan menyekat penggunaannya hanya untuk membeli barangan keperluan, ialah satu kejutan yang biadap dan tidak dialu-alukan kebanyakan penerima yang ditemui The Malaysia Insider.

"Kerajaan buat rakyat macam kanak-kanak, seolah-olah kita tidak boleh dipercayai dalam menguruskan wang," kata pemandu teksi M Manickam, 56.

Kerajaan buat rakyat macam kanak-kanak, kata M Manickam. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Oktober, 2014.
Kerajaan buat rakyat macam kanak-kanak, kata M Manickam. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Oktober, 2014.

Manickam dari Kajang berkata, sebagai orang dewasa, mereka tahu mengawal perbelanjaan dan apa yang perlu dilakukan dengan wang bantuan, tanpa perlu kerajaan merangka skim menghadkan pembelian mereka.

Pada masa ini, BR1M yang diberi untuk membantu isi rumah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, diberi dalam bentuk wang tunai dan kebanyakannya didepositkan terus ke dalam akaun bank penerima.

Bagaimanapun, bagi memaksimumkan keberkesanannya, Putrajaya sedang mengkaji penggunaan sistem setem makanan seperti di Amerika Syarikat, di mana baucar tunai dikeluarkan kepada individu yang layak hanya untuk membeli bahan makanan.

Tetapi, sistem seperti ini akan menyebabkan Tengku Nazzat Tengku Abdullah, 63, tidak boleh lagi menggunakan BR1M untuk tujuan perubatan dan bagi membolehkannya terus memandu.

"Apabila saya menerima BR1M saya, saya gunakannya untuk bayar lesen memandu dan cukai jalan," kata Tengku Nazzat, penerima BR1M sejak dua tahun, kepada The Malaysia Insider.

"Saya juga menghidap kencing manis. BR1M ialah satu-satunya peluang saya dapat membeli ubat yang lebih baik dari farmasi, selain ubat yang saya terima dari hospital kerajaan, “ katanya.

Warga emas dari Klang itu, yang sedang membesarkan seorang anak, berkata pemberian itu harus diteruskan dalam bentuk wang tunai kerana rakyat Malaysia bergantung kepadanya untuk membeli pelbagai barangan, bukan hanya bahan makanan.

Pada Isnin, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata BR1M akan dirombak semula pada 2016 dan hanya akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah untuk membeli barang keperluan asas sahaja.

Selain kupon makanan, beliau berkata Putrajaya juga sedang melihat cara lain seperti memberi bantuan bulanan kepada penerima melalui MyKad untuk digunakan di pasar raya.

Katanya, perubahan dalam BR1M perlu bagi mengelakkan penerima menyalahgunakannya untuk membeli barangan mewah seperti rokok.

Doris James dari Kuching lebih suka terima wang tunai dan bebas untuk menggunakannya. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Oktober, 2014.
Doris James dari Kuching lebih suka terima wang tunai dan bebas untuk menggunakannya. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Oktober, 2014.

Bagaimanapun, Doris James, 52, dari Kuching berkata, dia lebih suka wang tunai dan kebebasan untuk membelanjakannya mengikut sesuka hatinya.

"Mengapa mereka risau sangat bagaimana kita membelanjakan BR1M itu? Jumlahnya tidak sebanyak mana. Bukannya boleh cukup untuk bertahan setahun pun.

"Dengan wang sedikit seperti itu, sekali pergi pasaraya, boleh habis. Sekelip mata saja," kata Doris yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, kerajaan nampaknya serius menangani isu penyalahgunaan BR1M.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pada Selasa, BR1M akan diagihkan secara ansuran mulai tahun depan supaya penerima tidak menggunakannya untuk membeli barang mewah seperti iPhone 6.

Norbait Mohd Suid, 49, yang bergantung kepada bantuan kerajaan itu dalam membesarkan anaknya, tergelak mendengar BR1M dikhuatiri digunakan untuk bermewah-mewah membeli telefon bimbit.

"Kalau BR1M dibayar secara sekali gus dan bukan dalam tiga ansuran sekalipun, saya tidak akan membeli telefon bimbit. Saya ada dua anak kecil untuk dibesarkan, tidak ada duit untuk dibazirkan bagi tujuan kemewahan begitu.

"Tidak bagus sekiranya Putrajaya memutuskan memberi BR1M dalam bentuk baucar dan bukannya wang tunai," kata Norbait, yang bekerja sebagai penjaga pintu di Swiss Garden Hotel.

Ejen tiket bas, Shaari Ghani, 72, berkata beliau memerlukan BR1M dalam bentuk tunai kerana senang baginya untuk membayar bil dan cara itu lebih fleksibel.

"Saya tidak boleh bayar bil saya dengan kupon. Dengan wang tunai, banyak yang saya boleh lakukan. Kupon itu mungkin akan hadkan pembelian di kedai terpilih saja. Saya rasa ini menyusahkan orang ramai," katanya yang tinggal di Butterworth .

Shaari berkata, beliau faham kerajaan hendak memastikan wang itu tidak disalahgunakan, tetapi kerajaan tidak seharusnya membuatkan keadaan bertambah rumit untuk rakyat.

"Berikan dalam bentuk wang tunai. Memudahkan keadaan. Penerima dapat beberapa ratus saja, bukannya berpuluh ribu.

"Mungkinlah ada 2, 3 orang, daripada 10 penerima, yang menggunakan duit itu untuk benda yang tidak perlu. Tetapi, majoriti penerima menggunakannya untuk barang keperluan," kata Shaari.

Josh John, 51, berkata, walaupun dia tidak keberatan beralih dari tunai kepada baucar, dia tidak setuju jika ia dihadkan kepada kedai tertentu, seperti Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M).

"Kita perlu diberi pilihan hendak beli di mana di tempat yang kita mahu. Mungkin saya hendak beli di kedai runcit apek sebelah rumah saya.

"KR1M bukannya ada dekat rumah saya. Saya akan terpaksa rugikan minyak hanya untuk pergi ke KR1M yang terdekat. Harga petrol baru saja naik," kata Josh, yang tinggal di Kuching dan tidak bekerja.

Pemandu bas Ahmad Fuad Abdullah, 41, juga tidak setuju sekiranya baucar BR1M hanya boleh digunakan di kedai tertentu kerana ia akan menggalakkan pemilik kedai menaikkan harga barang dan mengaut keuntungan.

"Jika baucar itu hanya boleh digunakan di kedai tertentu saja, kita tiada banyak pilihan. Biasanya, barangan di pasar raya lebih mahal, jadi, kuasa membeli kita kecil," kata Fuad dari Puchong.

Bapa kepada dua anak itu berkata, sistem itu juga tidak adil kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan terputus hubungan dari bandar.

"Takkanlah hendak paksa mereka membeli di bandar hanya untuk menggunakan baucar itu?" kata Fuad.

Bagaimanapun, pemandu lori S Rubeswaran, 26, berkata idea itu boleh diterimanya kerana penerima BR1M masih boleh membeli keperluan isi rumah menggunakan baucar.

"(Namun) Saya rasa ramai orang tidak akan suka idea BR1M tanpa tunai ini. Mungkin untuk lelaki bujang macam saya, senang hendakterima. Saya tidak merokok atau minum, jadi saya tidak memerlukan wang untuk perkara-perkara seperti itu," katanya.

Dia yang pernah menerima BR1M sebanyak dua kali sebelum ini, setuju yang sistem tanpa tunai akan menghalang daripada wang itu disalahgunakan, sambil menambah ramai menganggap pemberian wang tunai itu seperti bonus.

"Mereka akan gunakannya sesuka hati mereka. Saya tahu ada orang yang gunakannya untuk bersiar-siar atau melancong dalam negara, ini saya rasa tidak betul,” katanya.

Di bawah Bajet 2015, BR1M dinaikkan ke RM950 tahun depan untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah, dan RM750 untuk isi rumah berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000. Rakyat Malaysia yang belum berkahwin berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 pula diberi RM350. – 20 Oktober, 2014.