KWC ideal untuk 'shopping' raya


29 Jul
– Aktiviti membeli-belah pada bulan Ramadan kali ini lebih menyeronokkan dan memuaskan dengan adanya semua jenis barangan fesyen dibawah satu bumbung.

Kenanga Wholesale City (KWC) yang baru sahaja dibuka pada bulan Oktober tahun lepas kini dianggap sebagai kompleks borong yang pertama di Malaysia.

Dengan mempunyai lebih daripada 800 buah kedai yang menjual barangan dari negara tempatan dan juga negara-negara luar seperti China, Korea, Indonesia dan Thailand, para pembeli boleh mendapati pelbagai barangan fesyen terkini dengan harga yang berpatutan.

Saban Raya yang kian menghampiri, pembeli yang inginkan fesyen gaya Muslimah boleh memilih pelbagai pakaian dan selendang menarik di tingkat empat dan lima. Antara kedai yang boleh dikunjungi adalah seperti Cuba Cuba, Citra 1, EMystic, Lizza Nass, Habibi dan pelbagai lagi.

Di samping itu, pelakon dan pengacara televisyen Scha Al-Yahya baru sahaja dipilih sebagai duta terbaru KWC selepas juruhebah radio Royce Tan.

Walaupun terpaksa melalui kesesakan di kawasan Jalan Gelugor dan Jalan Loke Yew, namun pembeli tidak perlu risau tentang di mana mereka perlu meletak kereta kerana kompleks ini menyediakan sebanyak 1,800 tempat meletak kereta.