Laporan audit: Finas belanja RM9.45 juta untuk lawatan, seminar

No misuse of funds in Finas, says director-general – Bernama

Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 mendedahkan sejumlah RM9.45 juta dibelanjakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tujuan lawatan, seminar dan mesyuarat.

Menurut laporan itu, Finas menggunakan wang itu sebagai wang pendahaluan yang akan dibayar kepada organisasi bertanggungjawab melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 31 Disember 2012.

Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan terdapatnya kecelaruan akaun direkodkan sebanyak RM5.06 juta akibat daripada akaun penyelenggaraan bagi daftar pendahaluan yang tidak lengkap dan tidak teratur.

Turut dilaporkan ialah kelemahan penyelenggaraan apabila nilai bersih hartanah, loji dan peralatan berjumlah RM88.02 juta juga tidak direkodkan oleh Finas.

Selain gagal merekodkan pelupusan aset, Finas juga dilaporkan kehilangan aset pada 2011 dan 2012.

Laporan Ketua Audit Negara bagaimanapun gagal mengesahkan ketepatan baki simpanan Finas berjumlah RM29.08 juta ekoran kegagalan agensi itu mengemukakan penyata bank bermula Ogos hingga Disember 2012.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam berkata, akan memanggil tiga lagi agensi di bawah kementerian iaitu Finas, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Universiti Malaysia Terengganu selepas Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 dikeluarkan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata, ketiga-ketiga agensi berkenaan dipanggil kerana tidak mencapai rating yang memuaskan hasil daripada laporan yang dikeluarkan semalam. – 3 Disember, 2013.