Laporan ekonomi global salahkan Najib kurang upaya buat pembaharuan

Laporan ekonomi global salahkan Najib kurang upaya buat pembaharuan

Laporan ekonomi global memberi bayangan suram kepada Malaysia, meramalkan kegagalan bagi fasa kedua pelan transformasi ekonomi Putrajaya kerana kekurangan kemampuan Datuk Seri Najib Razak tetapi jawatannya tetap selamat kerana tiada pengganti yang layak.

Tiada pencabar serius bagi jawatan Najib sebagai presiden Umno sehingga pemilihan parti diadakan pada 2018, lapor Asianomics Country Report dalam perkembangan terkini kepada pelabur antarabangsa.

Asianomics Ltd ditubuhkan oleh Dr Jim Walker, seorang ahli ekonomi terkemuka di Asia, bagi pelabur mendapatkan perspektif alternatif, mendedahkan realiti ekonomi sebenar dan menyediakan penyelidikan makroekonomi tidak berkonflik serta nasihat pelaburan strategik, menurut laman web syarikat berkenaan.

Menurut laporan itu, Najib mampu bertahan sebagai perdana menteri hanya kerana pencabar berpotensi seperti Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi "tidak menentu untuk melayakkannya", Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein pula hanya "anak bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn yang membosankan" sementara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin terlalu muda untuk jawatan itu.

Ia berkata, kedudukan Najib juga selamat kerana perpecahan yang semakin menjadi-jadi dalam pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kelihatan terganggu dengan hukuman penjara ketua pembangkang itu bagi kesalahan liwat.

"Perdana menteri yang lemah mengetuai sebuah parti politik digelar oleh seseorang sinis sebagai ‘tenggelam dalam dunianya sendiri’ yang hanya mempunyai matlamat tinggi kepada ahlinya untuk terus mengaut keuntungan, manakala pembangkang melihat dalam sudut berbeza kerana ketua mereka (Anwar) berkemungkinan menerima hukuman penjara lima tahun yang akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Ia bukan satu gambaran elok bagi sebuah negara yang dulunya pernah dikatakan mempunyai masa depan cerah," tulis laporan berkenaan.

Laporan itu menyatakan perdana menteri digambarkan tidak mempunyai keupayaan melakukan sebarang tindakan walaupun terus berkuasa selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun laporan berkenaan berkata mungkin terdapat beberapa masalah kerana Sultan Johor mula campur tangan dalam sektor ekonomi, menyebabkan kebimbangan bagi lapan sultan lain dalam 13 negeri.

Laporan itu berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berjaya memastikan Program Transformasi Ekonomi (ETP) berada di landasan yang betul tetapi fasa seterusnya dalam program transformasi ini gagal kerana kegagalan kepimpinan perdana menteri.

Ia menjelaskan ketidakmampuan kepimpinan menjadi lebih jelas apabila Najib membenarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dan memperbetulkan beberapa isu bagi pihaknya dan juga membolehkan neo-feudalisme menyelinap masuk.

"Ketidakmampuan politik Najib memberi kesan atas pelaksanaan polisi dalam memacu masa depan ekonomi. Najib kehilangan momentum; begitu juga terhadap pelaksanaan dasar," kata laporan itu.

Laporan itu berkata, walaupun berlaku peningkatan ketelusan pada pemberian projek kecil di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), projek lain yang lebih besar terus diberikan secara tertutup.

Najib juga dikritik hebat kerana "menyebelahi ahli Umno untuk mengambil hati orang Melayu" menyebabkan Pemandu menjadi "mangsa utama bagi kekurangan keberanian beliau".

"Kedudukan Najib tidak dibantu dengan kemunculan semula Dr Mahathir yang masih mengekalkan pengaruh di kalangan pemimpin Umno dan pesara elit perkhidmatan awam, yang masih mempunyai suara dalam pelantikan perkhidmatan awam melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam."

Laporan itu juga memberi tumpuan kepada peranan dimainkan oleh Johor sebagai negeri yang mempunyai 30% daripada projek infrastruktur ETP.

"Terdapat desas-desus penempatan semula syarikat pembuatan dari Singapura ke Malaysia yang jauh lebih murah. Johor, yang banyak melabur dalam infrastruktur (termasuk kereta api berkelajuan tinggi dan jalan raya ke Singapura), adalah destinasi utama bagi aktiviti pelaburan itu,” kata laporan itu.

Walaupun harapan positif untuk ledakan ekonomi di Johor di bawah ETP, laporan itu berkata ada kebimbangan berkenaan penularan neo-feudalisme.

"Syarikat hartanah daripada tanah besar China juga terbabit, yang menjadi salah satu sebab berlakunya peningkatan secara tiba-tiba dalam FDI China.

"Antara kes paling banyak dilaporkan adalah penjualan 116 ekar tanah utama di Johor oleh Sultan kepada pemaju China, Guangzhou R & F pada Disember lalu. Sultan Johor didakwa memperoleh RM4.5 bilion bagi urus niaga itu. Sentimen di Johor tercalar.

"Apa yang paling merisaukan, bulan lepas Dewan Undangan Negeri Johor (menteri besar dipilih dan dilantik oleh Sultan) meluluskan pindaan Enakmen Perumahan dan Perbadanan Harta 2014, yang memberi Sultan kuasa melantik empat daripada 11 lembaga pengarah. Hakikat Sultan, yang kedudukannya hanya pada istiadat, semakin terlibat dalam tugas eksekutif, akibat pemimpin pusat yang lemah," kata laporan itu.

Laporan itu juga memberi amaran projek besar seperti Karambunai Integrated Resort City, Tanjong Agas Minyak dan Gas dan Logistik Taman Perindustrian dan Kuala Lumpur Wilayah Kewangan Antarabangsa berkemungkinan ditangguhkan kerana kos ekonomi dan tidak berdaya maju.

Selain Johor, laporan itu juga menyatakan "Kuala Lumpur mengalami lebihan bekalan harta komersial, yang hanya akan menjadi lebih teruk."

Laporan itu memberi amaran syarikat tidak akan dapat mengekalkan peningkatan perbelanjaan modal dan satu lagi tahun pertumbuhan keuntungan bersih rendah tidak boleh dikesampingkan.

Peningkatan harga barangan dengan penghapusan subsidi gula dan eksais ke atas produk tembakau dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjelang pertengahan tahun depan dan kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan isi rumah menghadapi tekanan besar, menurut laporan itu.

"Malaysia dilanda ketegangan kaum dan agama berterusan, seolah-olah karam dalam keadaan politik lesu dan melarikan diri seolah-olah mustahil."

Laporan itu juga menyalahkan telatah keterlaluan pihak berkuasa Islam yang merampas mayat, menyerbu majlis perkahwinan dan rampasan Bible kerana penggunaan kalimah Allah yang menenggelamkan negara ke paras terendah.

Ia juga memberi amaran "suasana ancaman kaum dan agama” akan "merangsang penghijrahan berterusan kumpulan minoriti orang Cina, yang memberi dorongan bagi kira-kira 70% daripada ekonomi dan membayar 90% daripada cukai pendapatan." – 9 Julai, 2014.