Lenovo ThinkPad Helix kini di Malaysia

Bagi mereka yang inginkan produk yang lain dari biasa, Lenovo telah memperkenalkan ThinkPad Helix ke pasaran Malaysia. Mereka telah meletakkan produk ini sebagai produk yang premium yang akan diletakkan di antara komputer riba dan tablet. Ianya telah direka untuk mereka yang tidak mahu membawa lebih dari satu komputer ke hulu dan ke hilir.

Pengurus Besar Negara Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan berkata,“Walaupun dengan kegawatan ekonomi yang melanda, Lenovo masih merekodkan pertumbuhan di dalam jualan kami – 8% berbanding tahun lepas. Kami percaya pertumbuhan ini adalah kerana kami telah menggunakan strategi yang betul yang dipanggil ‘Protect & Attack’. Oleh itu kami kini memperkenalkan ThinkPad Helix – produk yang kami rasakan akan menjadi buah hati baru untuk para profesional di negara ini. Ianya menggabungkan prestasi yang tinggi, reka bentuk Ultrabook yang nipis dan ringan, serta tablet Windows 8 yang boleh dibawa ke mana sahaja.”

Produk ini menggunakan prosessor generasi ketiga Core i7 dari Intel. Ianya bukan sahaja berkuasa, tetapi mempunyai banyak fungsi menarik. Ianya boleh menjadi tablet, dan juga ditukar menjadi mod bingkai gambar – seperti Ideapad Yoga. Lenovo juga akan memperkenalkan model dengan sambungan LTE tidak lama lagi.

Lenovo Helix akan berada di pasaran dari harga RM 6,500.