Advertisement

Letupan bom: Jiran terdengar bunyi mesin memotong sesuatu

Letupan bom: Jiran terdengar bunyi mesin memotong sesuatu

Seorang penduduk Taman Ria Mesra 11 di Gurun, Mohd Shahrizan Abd Wahab berkata beliau terdengar bunyi mesin memotong sesuatu sehari sebelum kejadian dari rumah jirannya dan menyangka jirannya itu sedang melakukan aktiviti biasa.

"Namun saya tidak sangka bunyi itu datang dari aktiviti yang mendatangkan bencana besar," katanya yang kematian seorang anak sementara isterinya cedera parah dalam kejadian letupan peluru pelancar roket anti kereta kebal pada 24 Disember lalu.

Anaknya Muhammad Akif Luqman, 5, terkorban sementara isterinya Zuraida Mat Rotobe, 30, dimasukkan ke hospital dan dibenarkan pulang.

"Isteri saya masih terbayang kejadian tersebut. Dia melihat anak kami yang sedang berada di ruang tamu tercampak akibat letupan kuat itu dan dia yang berlumuran darah kerana turut tercedera sempat memangku anak kami yang sudah tidak bergerak lagi," katanya dan menambah isterinya kemudiannya meminta pertolongan jiran-jiran.

Shahrizan berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi menetap di kawasan perumahan itu tetapi pulang ke kampug rumah isterinya di Pendang.

Kejadian itu turut mengorbankan tiga yang lain serta merosakkan puluhan buah rumah. – Bernama, 29 Disember, 2014.