Advertisement

LHDN pilih kasih, beri diskaun kepada hartawan, kata Utusan Malaysia

Tiga pejabat LHDN tutup kerana banjir

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilihat lebih memberi layanan istimewa kepada hartawan dan syarikat besar berbanding pembayar cukai individu, kata Utusan Malaysia.

Pengarang akhbar milik Umno itu yang menggunakan nama Awang Selamat menerima laporan daripada pembayar cukai individu terhadap sikap pilih kasih LHDN dalam urusan kelewatan membayar cukai.

“Antaranya aduan memohon pengurangan denda kerana terlewat membayar cukai, yang bukan saja tidak dilayan malah tidak dijawab surat rayuan mereka.

“Lain pula ceritanya apabila berurusan dengan seorang bilionair sehingga boleh mendapat 'diskaun' lebih RM100 juta.

“Itu pun melalui ansuran selama 18 bulan, yang rakyat biasa tidak akan menikmati diskaun dan kelonggaran luar biasa itu,” katanya melalui akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun, Awang Selamat berkata, kebenaran dakwaan itu tidak dapat dipastikan namun ia sememangnya hangat diperkatakan.

Katanya, kes berkenaan melibatkan kepentingan umum dan Utusan Malaysia menggesa LHDN tampil memberikan penjelasan.

“Memandangkan ia isu kepentingan awam, LHDN wajar tampil memberi penjelasan termasuk menafikannya jika hal tersebut tidak benar,” katanya.

Awang Selamat berkata, jika ketirisan berkenaan tidak ditangani secara serius, Malaysia akan menjadi seperti Mexico yang kehilangan 30% hasil pendapatan akibat penipuan dan mengelak daripada membayar cukai.

“LHDN boleh mengutip lebih banyak hasil jika lebih efisien dan tidak mengira bulu.

"Aneh di Malaysia, tiada jerung besar yang didakwa kerana kesalahan tersebut walaupun gejala itu diketahui berlaku,” katanya.

Penulis itu turut memberikan contoh pengerusi Kumpulan Samsung, Lee Kun-hee dari Korea Selatan yang didakwa kerana mengelak membayar cukai.

Pada Julai 2008, Mahkamah Seoul mendapati Lee bersalah kerana mengelak daripada membayar cukai dan dikenakan RM318 juta.

Awang Selamat turut menyentuh isu rasuah di kalangan penjawat awam yang disifatkannya dahsyat dan memalukan.

Katanya, terutama kes yang melibatkan penyeludupan diesel bersubsidi di darat mahupun di laut.

“Di darat, ada pihak bekerjasama dengan sindiket termasuk membocorkan maklumat operasi serbuan. Ini meliputi segelintir petugas sebuah kementerian dan agensi penguatkuasa.

“Siasatan yang dilakukan mendapati ada anggota bawahan memiliki wang dalam akaun berjumlah RM1 juta dan pegawai mempunyai RM40 juta.

"Di laut pula, ada kalangan pegawai agensi yang mengambil 'tol' bagi setiap kapal yang menyeludup diesel. Sebab itu, aktiviti penyeludupan diesel dan penjualannya di pasaran gelap berleluasa," katanya.

Awang Selamat berkata, ‘pemenang’ dalam isu ini adalah penjual diesel haram dan operator nelayan.

Utusan Malaysia menggesa Putrajaya tampil dengan kaedah baru bagi memastikan diesel bersubsidi diterima golongan sasar.

“Formula lama pengagihan subsidi hanya memperkasakan golongan yang kaya raya, orang asing, dan membiakkan gejala rasuah,” katanya. – 15 Jun, 2014.