Lima universiti Malaysia berkedudukan lebih tinggi dalam ranking tahun ini

Lima universiti Malaysia mendapat tempat antara 400 terbaik dalam tinjauan QS World University Ranking 2014 tahun ini.

Universiti terkemuka negara, Universiti Malaya (UM) berada di tangga ke-151, diikuti dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-259.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak di Johor berada di tangga ke-294, naik 60 kedudukan berbanding tahun lepas.

Sementara itu, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) berada di tangga 309 dan 376 masing-masing.

Kelima-lima institut meningkat kedudukan mereka berbanding tahun lepas.

Dalam tinjauan tahun lepas UM berada di tangga ke-167 manakala UKM di 269. UTM dan USM kedua-duanya di tangga ke-355 dan UPM berada di dalam kedudukan 411-420.

Kriteria yang digunakan QS termasuklah reputasi akademik, reputasi majikan, kadar pelajar kepada fakulti, artikel setiap fakulti, petikan setiap artikel, pengantarabangsaan, dan program pertukaran pelajar.

QS Ranking menilai sejumlah 863 institusi pengajian tinggi daripada 3,000 yang dipertimbangkan.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meningkat paling banyak apabila ia berubah dari tahap 701+ ke kumpulan 651-700.

Bagaimanapun Universiti Islam Antarabangsa (UIA) masih tersekat di kumpulan 501-550 seperti tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini tentang tinjauan QS World University Rankings, QS Quacquarelli Symonds berkata, kecuali UIA, semua universiti lain daripada Malaysia bertambah baik dan kekal stabil dalam penunjuk tiga daripada enam ranking.

Penunjuk tersebut adalah Reputasi Akademik, berdasarkan 63,676 respons akademik dan memegang 40% keseluruhan, Fakuti Antarabangsa yang memegang 5% keseluruhan; penunjuk impak kajian dan Petikan setiap Fakulti yang memegang 20% keseluruhan.

"Hanya USM institusi yang bertambah baik mengikut keenam-enam petunjuk tersebut," kata organisasi tersebut, yang menilai universiti di seluruh dunia selama sedekad.

Bagaimanapun, universiti Malaysia masih lagi di bawah antara institut terbaik serantau seperti Universiti Kebangsaan Singapura (ke-24), Universiti Hong Kong (ke-26), Universiti Kebangsaan Australia (ke-27), Universiti Tokyo (ke-32) dan Universiti Seoul (ke-35).

Dalam QS World University Rankings yang meletakkan fokus kepada kajian saintifik dan teknologi yang berimpak besar sebagai kunci kemajuan kepimpinan, Massachusetts Institute of Technology (MIT) berada di tangga teratas sekali lagi untuk tahun ketiga.

MIT daripada Amerika Syarikat meningkat petikan tahunan setiap fakulti sebanyak 14% sementara The University of Cambridge berada di tempat kedua dan merekodkan peningkatan 11% dan Imperial College London dengan peningkatan 14%.

Prestasi Imperial College dalam petikan setiap fakulti membantunya meningkat tinggi dalam kategori 10 terbaik, melepasi Harvard University (ke-4), Oxford University (ke-5) dan University College London (ke-6) untuk menduduki tangga kedua bersama-sama Universiti of Cambridge.

Dalam dimensi ini, purata peningkatan antara 10 universiti terbaik adalah 7% dan California Institute of Technology (Caltech), sebuah universiti kajian swasta di Pasadena, California mengekalkan kedudukannya sebagai universiti terbaik bagi petikan kajian.

Caltech di tangga ke-8 antara 10 yang terbaik. Stanford Universiti berada di tangga ke-7 manakala Princeton University dan Yale University di tangga ke-9 dan ke-10.

QS World University Rankings adalah antara liga tahunan universiti terbaik di dunia yang paling terkenal dan diiktiraf.

Ia dikumpulkan oleh Unit Intelligence QS yang berkonsultasi dengan lembaga penasihat antarabangsa ahli akademik terkemuka. – 16 September, 2014.