Mahasiswa sedia ruang debat isu 1MDB, kata Fahmi Zainol

UM students will lose out with exit of talents, says ex-student leader

Kumpulan aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) sanggup untuk menyediakan ruang pentas debat untuk syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjelaskan kedudukannya mengenai hutang yang mencecah sehingga RM40 bilion.

Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) Fahmi Zainol berkata mahasiswa mahu mendengar penjelasan selepas Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin menyatakan persetujuannya untuk berdebat tentang skandal kewangan negara itu.

"Jika semalam Lembaga Pengarah 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berbesar hati untuk berdebat dan berbincang hal ini, hari ini mahasiswa pula berbesar hati menyediakan tempat buat mereka menjelaskan semua isu yang dibangkitkan.

"Sesi dialog dua hala dan penjelasan 1MDB akan diusahakan di peringkat kami jika mereka berani tampil ke depan untuk jelaskan permasalahan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, di peringkat mahasiswa pelbagai persoalan timbul ekoran pendedahan tiga bekas menteri kewangan yang memberikan respons negatif berkenaan 1MDB, ditambah dengan laporan polis yang dibuat ahli Umno sendiri.

"Di peringkat mahasiswa, kami mendesak pihak yang berkepentingan untuk menjelaskan persoalan dan permasalah yang timbul daripada 1MDB ini.

"Jika perdana menteri tidak mampu jelaskan, sudah cukup baik jika Lembaga Pengarah 1MDB dapat beri penjelasan mengenai permasalahan ini," katanya.

1MDB adalah dana kekayaan negara Malaysia yang kedua selepas Khazanah Nasional Bhd.

Dalam masa lima tahun operasinya, dana itu dikatakan mengumpul RM38 bilion hutang tetapi kebimbangan terhadap kedudukan kewangannya diketepikan oleh Lodin, yang berkata asetnya berjumlah RM51.4 bilion, kira-kira RM2.5 bilion lebih berbanding liabilitinya daripada RM48.9 bilion, pada 31 Mac tahun ini.

Sumber The Malaysian Insider memberitahu, berlaku pertemuan rahsia antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berbincang mengenai isu itu selepas bekas perdana menteri itu lantang mengkritik 1MDB dalam tulisan blog dan sidang media. – 23 Disember, 2014.