Mahkamah putuskan pernikahan Sham Kamikaze tidak sah

Mahkamah putuskan pernikahan Sham Kamikaze tidak sah

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur memutuskan pernikahan antara bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Mohd Salleh (Sham) dengan isterinya, Nurul Halimin Mohd Salleh pada 16 Januari 2012 di Masjid Padang Ibu, Pulau Pinang adalah tidak sah dan terbatal, lapor Berita Harian.

Berikutan itu, Hakim syarie, Kamarulzaman Ali, memerintahkan pernikahan pasangan itu difarakkan (dibubarkan) serta-merta mulai semalam dan sijil pernikahan yang disahkan palsu oleh Pejabat Agama Islam Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) dilupuskan.

Kamarulzaman memutuskan demikian selepas mendapati pernikahan itu dijalankan oleh wali hakim yang tidak sah, selain segala proses pernikahan diuruskan oleh pihak ketiga yang tidak bertauliah, lapor akhbar itu.

Bagaimanapun, hakim itu memutuskan anak pasangan itu, Aisy Dannial, yang dilahirkan pada 21 Januari lalu, adalah anak sah taraf dan boleh dinasabkan kepada Sham (gambar) sebagai bapa kandung. – 28 Jun, 2014.