Advertisement

Malaysia Airlines keluarkan senarai penumpang MH17

Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengeluarkan senarai penuh penumpang penerbangan MH17, dua hari selepas pesawat itu nahas di timur Ukraine.

Penumpang MH17 terdiri daripada warga Belanda (192), Malaysia (29, termasuk 15 anak kapal), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (10), Germany (4), Belgium (4), Filipina (1), Kanada (1) dan New Zealand (1).

MAS juga mengeluarkan maklumat kargo MH17 semalam.

Dua ekor anjing peliharaan dan sembilan ekor burung termasuk empat ekor merpati antara yang terdapat dalam kargo.

Selain itu, terdapat barangan kurier termasuk peralatan helikopter, barangan horikultur, barangan perubatan, bunga palsu, produk kegunaan harian, penapis, tekstil serta mel pos.

Penerbangan MH17 merupakan tragedi kedua bagi MAS selepas penerbangan MH370 hilang pada Mac lalu.

Pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 kru. MH370 dikatakan hilang di selatan Lautan Hindi.

Kedua-dua tragedi mengorbankan 537 nyawa.

Dalam kenyataan media hari ini, MAS berkata dalam tempoh 45 jam lepas, bersama beberapa kedutaan asing, melakukan segala usaha untuk menghubungi waris penumpang tetapi masih tidak dapat mengenal pasti banyak lagi keluarga terbabit.

Syarikat penerbangan itu merayu kepada anggota keluarga atau rakan mereka dalam pesawat MH17 menghubungi Pusat Sokongan Keluarga MAS di +603-78841234 (di Malaysia) atau mereka boleh hubungi nombor di bawah:

Netherlands (Pejabat MAS Amsterdam) - +31205216252

Australia (Pejabat MAS Sydney) - +61293643526

Indonesia (Pejabat MAS Jakarta) - +62215229705

New Zealand (Pejabat MAS Auckland) - +6493063930

United Kingdom (Pejabat MAS London) - +442073412060

Jerman (Pejabat MAS Frankfurt) - +496913871980

Filipina (Pejabat MAS Manila) - +6328891863 – 19 Julai, 2014.