Malaysia diminta sertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Malaysia diminta sertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Song Sang-Hyun menyeru kerajaan Malaysia menyertai ICC dan menerima Statut Rome.

Beliau berkata setakat ini 122 negara telah menyertai ICC.

Statut Rome merupakan perjanjian yang menubuhkan ICC dan diterima pada persidangan diplomat di Rome pada 17 Julai 1998 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 2002.

ICC merupakan mahkamah bebas yang membicarakan orang yang didakwa atas kesalahan jenayah serius membabitkan pihak antarabangsa seperti genosid, jenayah kemanusiaan dan perang.

Song, yang merupakan presiden ICC pertama dari Asia, berkata Afrika, Eropah dan negara-negara Amerika serta Caribbean diwakili penuh tetapi Asia masih ketinggalan.

Bercakap pada forum mengenai Mahkamah Keadilan Antarabanga, ICC dan Mahkamah Timbang Tara Tetap di sini hari ini, beliau berkata selaras dengan usaha kerajaan Malaysia mempromosi keamanan, harmoni dan kesederhanaan, penerimaan Malaysia terhadap Statut Rome akan menggalakkan negara lain menyertai ICC.

Malaysia menunjukkan minat menyertai ICC pada 2011, katanya. – Bernama, 6 Disember, 2013.