Malaysia perlu model ekonomi saksama, kata Muhyiddin

Malaysia memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat memastikan pertumbuhan ekonomi disertai dengan pengagihan kekayaan yang saksama, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, ketidaksaksamaan dalam masyarakat ketika ini agak menggerunkan dengan kedudukan ekonomi orang Melayu masih meruncing selain berdepan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi mereka.

"Kita (orang Melayu) bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera.

Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju," katanya berucap merasmikan perhimpunan agung serentak sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, negara juga sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan dan memerlukan satu pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang antara kaum dan kelas.

Menjelaskan perbezaan jurang ekonomi itu, Muhyiddin berkata berdasarkan data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013, menunjukkan median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera hanya pada RM3,282, masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India pada RM3,676.

Katanya, dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, 75.5% daripadanya adalah Bumiputera yang turut tertinggal dalam pemilikan hartanah kediaman dan industri dan perdagangan.

Muhyiddin turut meluahkan satu kebenaran yang pahit apabila kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta.

"Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama.

"Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%.

Muhyiddin (gambar, kiri) berkata berdasarkan kajian pakar ekonomi, pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40% lebih rendah berbanding bukan Bumiputera dalam sektor swasta.

Katanya, selain jurang ekonomi antara kaum, negara ini berdepan jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin, etnik dan intra etnik, Semenanjung, Sabah dan Sarawak, masyarakat bandar dan luar bandar, antara ketua pegawai eksekutif (CEO), pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan.

Semua ini, katanya, jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara secara keseluruhan.

Justeru Muhyiddin berkata, Agenda Bumiputera perlu dijadikan sebagai Agenda Nasional dan bukan agenda kaum selain dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi perlu dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju.

"Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi.

"Saya juga mencadangkan Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah Allah SWT kepada kita...," kata Muhyiddin.

Selain itu, katanya, tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera perlu diberikan selain memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan dan pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing.

Katanya, dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja perlu diperkenalkan selain menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur, meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar.

"...menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum.

"Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini adalah agenda negara," katanya. – Bernama, 25 November, 2014.