Advertisement

Malaysia sudah mewah, masih perlu belajar dari Indonesia?

Apabila disebut perkataan Indonesia, yang timbul dalam fikiran kita biasanya adalah: pembantu rumah, pekerja asing, percutian di Bali atau Medan atau Bandung, kesesakan lalu lintas di Jakarta, dan "kacau-bilau" politik.

Tidak ramai antara kita yang mengaitkan Indonesia dengan budaya ilmu, kesenian dan kesusasteraan, sejarah tamadun, kematangan politik sejak awal abad lalu dan keberanian serta kesungguhan menentang penjajahan dan kejayaan mencapai kemerdekaan melalui perjuangan revolusi.

Malah tidak ramai antara kita yang sedar rukun negara Indonesia yang digelar Pancasila, atas prinsip Bhinneka Tunggal Ika (bersatu walau berbeza), sedikit-sebanyak memastikan tidak wujud ketuanan mana-mana kaum atau agama, walaupun 90% penduduknya adalah umat Islam.

Kita sudah mewah?

Apakah kita orang Malaysia sudah merasa diri serba cukup, serba kaya dan serba mewah yang hanya melihat Indonesia sebagai sebuah negara miskin yang cuma mampu mengeksport buruh dan pembantu rumah ke negara kita?

Apakah kita orang Malaysia menjadikan "kemewahan" kita (kerana mampu menggajikan pembantu rumah) sebagai kayu ukuran tidak ada apa yang boleh kita pelajari dari negara jiran kita itu walaupun ia kaya dengan sejarah, budaya dan tamadunnya?

Atau apakah kita sebenarnya masih leka hidup dalam dunia sempit ciptaan pentadbir yang bernama Barisan Nasional di mana kita tidak sedar minda kita dikongkong melalui:

  • Kawalan ketat ke atas media massa yang memerlukan lesen dan permit, dan sentiasa dipantau badan pengawas bernama Kementerian Dalam Negeri

  • Kawalan ketat ke atas sekolah, maktab, kolej dan universiti yang mana propaganda Barisan Nasional yang dikuasai Umno yang mewarisi politik penjajah Inggeris (pecah perintah mengikut kaum dan agama) dijadikan nadi pendidikan;

  • Kawalan ketat ke atas agama yang dijadikan hegemoni untuk menguasai kaum majoriti dan menakutkan kaum-kaum minoriti melalui hegemoni Umno dalam agensi pentadbir, mahkamah dan pelbagai aparatus pentadbir.

Mungkin semua atau sesetengah andaian ini menjadikan kebanyakan orang Malaysia angkuh sehingga tidak sedar Indonesia sebagai jiran terdekat mampu menawarkan sedikit sebanyak pengajaran dalam kehidupan sosial dan politik.

Memang Indonesia bukan sempurna. Memang Indonesia punya seribu masalah seperti Malaysia. Memang kacau-bilau berlaku di Indonesia seperti mana ia berlaku di banyak negara lain.

Berkongsi sejarah hitam

Memang benar Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah hitam masing-masing. Malah hingga hari ini kalangan pemimpin politik kedua-dua negara juga terpalit dengan korupsi, rasuah dan salah guna kuasa.

Daripada segi diskriminasi kaum, misalnya, Indonesia mempunyai rekod buruk terhadap minoriti kaum Cina yang sering menjadi kambing hitam apabila republik itu dilanda krisis besar. Malah diskriminasi itu menjadi ganas dengan pembunuhan dan perogolan beramai-ramai terhadap kaum Cina seperti yang berlaku dalam krisis politik 1965 dan 1998.

Malaysia juga mengalami masalah yang sama walau ada bezanya apabila kepimpinan Umno yang kini semakin kukuh menguasai pentadbiran kerajaan melihat kaum Cina dengan penuh curiga. Walapun tiada kes keganasan yang teruk seperti di Indonesia, diskriminasi yang bersifat institusi terus dilaksanakan dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran awam, sekolah, maktab, kolej dan universiti, syarikat berkaitan kerajaan dan sebagainya.

Namun, di Indonesia semakin ramai pemimpin politiknya sedar diskriminasi kaum atau agama hanya akan menghancurkan masyarakat. Dengan itu banyak langkah diambil kerajaan Indonesia selepas Reformasi 1998 untuk mengembalikan hak kaum Cina yang disekat dan dikawal sejak merdeka.

Sebaliknya di Malaysia, kerajaan Umno-BN membiarkan saja anasir perkauman terus-menerus mengugut dan mengancam masyakarat Cina dan kaum bukan Melayu di negara ini, termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Begitu juga sejarah hitam komunisme di mana Malaysia dan Indonesia sama-sama mengalaminya walaupun dengan pengalaman amat berbeza. Yang berbeza adalah jumlah korban. Yang menjadi persamaan ialah keadaan di mana kedua-dua kerajaan menggunakan aparatus negara, khususnya media massa dan agensi pentadbir, untuk membasuh otak rakyat supaya membenci komunisme, sosialisme dan apa-apa bentuk politik yang dianggap kiri.

Bukan isu ideologi tapi masalah tutup minda

Namun begitu ini bukan soal ideologi atau sistem komunis itu sendiri. Ini adalah kerana soal ideologi dan sistem politik boleh ditangani melalui dialog, wacana atau debat. Yang menjadi isu besar ialah penyalahgunaan kuasa kerajaan mempergunakan wang rakyat dan hasil sumber negara untuk menyebarkan propaganda serta menutup segala ruang diskusi dan perbincangan.

Dengan itu, lebih setengah abad lamanya minda rakyat tertutup daripada perbincangan untuk mencari kebenaran tentang tuduhan dan progapanda. Ini bererti ia melahirkan generasi yang malas berfikir dan hanya percaya kepada propaganda; malah pada hari ini propaganda tentang kaum dan agama mudah diterima tanpa banyak soal kerana rakyat sudah lama dididik sejak sekolah untuk menerima tanpa mempersoalkan apa-apa.

Ada orang menyebut fenomena ini sebagai proses pembodohan rakyat, iaitu jika rakyat bodoh maka mudah kerajaan menguasai minda mereka. Mungkin kata-kata itu terlalu keras dan menghiris hati sesetengah pihak. Namun bagi kebanyakan pemikir Indonesia, ia perlu keluar dari tempurung pembodohan untuk membuka semula minda rakyat.

Jika orang Malaysia, khususnya mereka yang berkuasa, walau daripada parti politik mana sekali pun, sedar Indonesia yang kaya dengan budaya pelbagai kaum dan agama sedang gigih berusaha untuk keluar dari acuan politik lama yang korup serta tidak bebas, ia patut menjadi teladan yang baik.

Tidak ada gunanya jika orang Malaysia bangga dengan "kemewahan" harta dan wang ringgit tetapi miskin dengan akal budi. Malah, di kalangan orang Malaysia sendiri sudah sedar sikap bodoh sombong akan membinasakan diri pada suatu masa kelak.

Kesan pemilihan Jokowi sebagai presiden Indonesia

Dalam hal ini, walaupun ramai antara kita yang mungkin tidak peduli dengan pemilihan presiden Indonesia, ia sebenarnya sentiasa memberi kesan kepada Malaysia sebagai rakan serantau.

Pasangan Joko Widowo - Jusuf Kalla yang dilihat sebagai gandingan progresif konservatif diumumkan secara rasmi sebagai pemenang pemilihan tersebut. Jokowi, gelaran popular singkatan namanya, dilihat sebagai pemimpin yang bakal memberi harapan baru untuk Indonesia agar terus maju, bukan saja ekonomi tetapi juga membasmi korupsi dan mengukuhkan masyarakat sivil. Mungkin harapan ini akan dituduh sebagai khayalan tetapi Jokowi terbukti berjaya sebagai Gabenor Jakarta; lebih banyak bekerja daripada bercakap dan bersih serta bebas rasuah dan salah guna kuasa.

Rakyat Indonesia menolak pasangan lawan Prabowo Subianto - Hatta Rajasa kerana melihat mereka sebagai gandingan konservatif yang mungkin mahu mengembalikan Indonesia kepada politik lama di mana "kerajaan tahu apa yang baik untuk rakyat, jadi rakyat jangan cabar pemerintah". Lagi pula Prabowo sebagai bekas jeneral tentera yang pernah melanggar hak asasi manusia tanpa segan silu mempolitikkan agama sepanjang kempen pilihan raya presiden tersebut.

Sudah tentu kemenangan Jokowi tidak bererti ia akan menjadi jalan mudah memulihkan kegawatan yang dialami Indonesia. Hidup ini bukan hitam putih, ia dipenuhi dengan ruang kelabu, apatah lagi politik yang sering memerlukan kompromi. Beliau perlu mengimbangkan sokongan yang diterimanya daripada golongan kapitalis dan pekerja, daripada NGO liberal dan NGO agama serta nasionalis, daripada golongan muda dan tua.

Memang tidak dinafikan sukar untuk mana-mana presiden Indonesia menjaga kemaslahatan 250 juta penduduk dalam sebuah negara yang penuh konflik politik serta sejarah silam yang masih menghantui rakyat sehingga ke hari ini. Namun ia bukan alasan untuk tidak berusaha memulihkan keadaan.

Perlu timba idea dari Indonesia?

Zaman pasca-Reformasi yang menjatuhkan pemerintahan autokrasi Suharto pada 1998 kini mekar berkembang melalui proses demokrasi dan kebebasan, termasuk kebebasan media. Memang banyak cacat celanya tetapi banyak juga hasil kejayaannya berbanding negara yang lebih "mewah" yang masih mengongkong rakyat dengan menganggap rakyat sebagai kanak-kanak.

Jumlah populasi Indonesia sudah suku juta orang. Penduduk Malaysia tidak sampai 30 juta, itu pun sudah dikira masuk warga asing yang entah macam mana mempunyai kad pengenalan Malaysia, terutamanya di Sabah. Maksudnya dalam kebanggaan orang Malaysia dengan kemakmuran ekonomi, sistem pentadbiran negara masih tidak bersih dan dicemari korupsi.

Ini bukan soal negara siapa lebih baik. Ia cuma melontar satu daripada ratusan idea kepada kita yang mahu Malaysia menjadi sesuatu lebih baik, lebih adil, lebih saksama, lebih demokratik, lebih kebebasan dan tentunya mengurangkan korupsi, rasuah dan salah guna kuasa. Kerana kita cintakan Malaysia, kita tidak mahu tanah air ini dicabul perkauman dan keagamaan sempit serta penyelewengan pentadbiran.

Mungkin ini yang perlu diinsafi dan dipelajari oleh sesiapa sahaja yang cintakan keadilan dan hak sewajarnya. Sama ada kita sudah kaya raya atau merasa diri terlalu hebat, ia bukan alasan untuk tidak belajar atau setidak-tidaknya mencari ilham daripada orang lain, walaupun daripada kalangan mereka yang dikatakan tidak semewah kita, kononnya. – 23 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.