Malaysia tawar rawatan pemulihan ketagihan dadah terbaik di Asean

Wan Junaidi rules out human trafficking link to Myanmar murders – Bernama

Kaedah pencegahan dan rawatan pemulihan ketagihan dadah di Malaysia adalah antara yang terbaik di negara-negara Asean, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar).

Beliau berkata ini berikutan kaedah rawatan pemulihan secara sukarela yang dijalankan di kebanyakan pusat pemulihan dadah negara ini telah memberi impak positif.

"Individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah ini tidak sepatutnya dianggap sebagai penjenayah sebaliknya dilayan sebagai pesakit. Mereka akan lebih selesa untuk mendapatkan rawatan secara sukarela seperti yang diguna pakai pusat-pusat pemulihan di negara ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Pusat Rawatan Pemulihan dan Prihatian (CCRC) dan Klinik Rawatan dan Pemulihan 1Malaysia (C&C) yang ditawarkan negara ini lebih ke hadapan berbanding negara lain kerana turut menggunakan konsep pendidikan dengan menawarkan peluang latihan dalam bidang-bidang tertentu seperti perniagaan dan kemahiran.

Wan Junaidi berkata program latihan yang digunakan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) iaitu “Therapeutic Community” juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai rawatan berkesan sehingga mendorong negara lain mempelajarinya.

Pengasas Pengasih Datuk Yunus Pathi berkata program yang menggunakan pendekatan rakan sebaya itu diiktiraf kerana berjaya membantu klien Pengasih bebas daripada dadah dan mengamalkan gaya hidup sihat selepas rawatan dua tahun.

"Semua klien kita bukan daripada mereka yang ditangkap sebaliknya mereka datang secara sukarela sama ada dengan keluarga, isteri mahupun majikan. Sebab itu sepanjang 20 tahun ini konsep kita terbuka, tidak berpagar dan tanpa ada pengawal seakan-akan mengalu-alukan kedatangan mereka ke sini.

"Kita juga adakan aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, tahlil dan pergaulan agar mereka tidak mengalami kejutan budaya apabila keluar dari Rumah Pengasih," katanya.

Yunus yang juga pernah berperang dengan ketagihan dadah berkata banyak cabaran yang perlu ditempuh apabila seseorang individu keluar dari pusat pemulihan seperti ajakan rakan sebaya, penolakan keluarga, dan penerimaan masyarakat.

Justeru beliau berharap orang ramai dan pihak bertanggungjawab tidak mengenepikan penagih sebaliknya menyokong dan bersama-sama membantu memulihkan mereka.

Pengasih kini tidak hanya berfungsi sebagai pusat merawat penagih tetapi juga terkenal sebagai institusi latihan pemulihan dan pencegahan dadah di negara lain termasuk Indonesia, Maldives, Filipina, Pakistan, Iran dan terkini Oman.

Dengan itu Yunus berharap impian menjadikan Malaysia destinasi rujukan di peringkat Asia tentang pencegahan dan rawatan pemulihan ketagihan dadah mampu direalisasikan.

Beroperasi sejak 1987, Pengasih telah merawat lebih 6,000 klien dan 70 peratus daripada mereka dapat mengekalkan gaya hidup sihat selepas keluar dari pusat pemulihan itu. – Bernama, 7 Julai 2014.