Mari Belajar Mengenai DSLR – Kamera berkuasa untuk semua peringkat penggunaan

Selamat datang ke siri baru segment Fotografi Majalah Tech. Kami ingin berkongsi beberapa tip-tip yang kami rasakan penting untuk sema jurugambar baru, amatur ataupun yang sudah berpengetahuan untuk belajar. Jika anda sudah tahu, ambil segmen ini sebagai pengukuh untuk informasi yang anda sudah ada. Jika anda masih belum mengetahuinya, mari kita belajar bersama-sama.

Untuk artikel pertama ini, kita akan bercakap mengenai DSLR. Kita semua pernah lihat/pegang/menggunakan DSLR, tetapi adakah anda tahu apa teknologi yang terkandung di dalam kamera tersebut?

Sejarah DSLR

Untuk bercakap tentang DSLR, kita perlu bercakap tentang SLR, kamera yang digunakan untuk membina DSLR. Maksud penuh DSLR ialah:

Digital Single Lens Reflex camera

ataupun

Kamera Reflex Lensa Tunggal Digital

oleh itu, boleh dilihat bahawa kamera SLR bermaksud:

Single Lens Reflex camera

Ataupun

Kamera Reflex Lensa Tunggal

Pada mulanya kamera menggunakan filem sebagai medium untuk menyimpan imej yang ditangkap oleh jurugambar. Oleh kerana pada masa itu pemidang tilik untuk kamera terletak di luar kawasan filem, apa yang dilihat melaluinya tidak semestinya melambangkan gambar yang dihasilkan.

Lebih kurang 1880an, rekabentuk untuk kamera SLR mula dibuat dan pengeluar-pengeluar utama pada masa itu telah menghasilkan kamera jenis baru yang memberikan jurugambar cara terbaik untuk mengkomposisikan gambar mereka dengan jelas dan mudah.

Dengan kehadiran dunia digital, tibalah sensor-sensor digital yang boleh dimasukkan ke dalam kamera untuk merakam imej yang dikehendaki. Canon adalah diantara pengeluar pertama yang menghasilkan kamera DSLR dengan model EOS D30. Kamera ini juga merupakan salah satu daripada kamera professional yang asal, dan menjadi pilihan jurufoto terkenal seluruh dunia untuk kerja mereka.

Jenis Sensor DSLR

Terdapat beberapa jenis sensor untuk DSLR yang kini digunakan di pasaran. Walaupun terdapat beberapa pengeluar yang berbeza, kebanyakan daripada mereka menggunakan salah satu daripada sensor-sensor yang tersenarai di bawah di dalam kamera mereka.

Sensor Frame Penuh

Sensor ini paling hampir dengan saiz filem zaman terdahulu. Jika anda ingat akan filem 35mm di dalam kamera-kamera lama dulu, saiz satu bingkai filem itu sama seperti saiz di dalam kamera yang mempunyai sensor ini. Kebaikan sensor ini adalah ianya memberikan kualiti gambar terbaik, dengan teknologi yang membolehkan setiap imej yang dirakam tidak mempunyai banyak “noise” ataupun bunyi bising di dalam gambar anda.

Sensor ini juga mempunyai ratio 1:1 bagi setiap imej yang dirakam, yakni apa yang diambil dengan kamera ini akan mempunyai medan pemandangan yang serupa jika dibandingkan dengan imej yang diambil dengan filem 35mm yang lama

Contoh kamera yang menggunakan sensor ini: Canon 1DX, 5D Mk III 60D, Nikon D4, D600, Sony A99

Sensor APS-H

Sensor ini mempunyai lebih kurang 64% keluasan sensor berbanding sensor Frame Penuh, dan oleh itu ianya akan memangkas imej yang diambil.

Sensor ini mempunyai ratio 1:1.3 bagi setiap imej yang dirakam, yakni apa yang diambil dengan kamera ini akan mempunyai medan pemandangan 1.3 kali lebih kecil jika dibandingkan dengan imej yang diambil dengan filem 35mm yang lama

Contoh kamera yang menggunakan sensor ini: Canon EOS-1D Mark IV, 1D Mark III, 1D Mark II ,EOS-1D

Sensor APS-C

Sensor ini adalah sensor yang paling banyak digunakan oleh pengeluar di pasaran sekarang. Ianya mempunyai keluasan sensor sebanyak ~40% jika dibandingkan dengan sensor Frame Penuh. Seperti APS-H. Imej yang dirakamkan akan dipangkas mengikut ratio tertentu.

Sensor ini mempunyai ratio 1:1.5 bagi setiap imej yang dirakam, yakni apa yang diambil dengan kamera ini akan mempunyai medan pemandangan 1.5 kali lebih kecil jika dibandingkan dengan imej yang diambil dengan filem 35mm yang lama

Contoh kamera yang menggunakan sensor ini: Canon 7D, 650D, 1100D, Nikon D5200, D3200, Sony α57, α37

Sensor FourThird

Sensor ini mempunyai lebih kurang 27% keluasan sensor berbanding sensor Frame Penuh, dan oleh itu ianya akan memangkas imej yang diambil.

Sensor ini mempunyai ratio 1:2 bagi setiap imej yang dirakam, yakni apa yang diambil dengan kamera ini akan mempunyai medan pemandangan 2 kali lebih kecil jika dibandingkan dengan imej yang diambil dengan filem 35mm yang lama

Contoh kamera yang menggunakan sensor ini: Olympus E5

Saiz Sensor

Di sini terdapat carta yang menunjukkan saiz-saiz sensor yang digunakan oleh pengeluar DSLR dunia. Anda boleh juga lihat gambar sebenar sensor tersebut setelah dikeluarkan daripada kamera.

Seperti yang anda boleh lihat di atas, contoh medan pemandangan setiap sensor boleh rakamkan jika jurugambar tidak bergerak dari sesuatu lokasi.