Maxis & Kementerian Pelajaran Malaysia Mengumumkan Pelaksanaan Program Maxis eKelas

Maxis Berhad (Maxis), dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), telah mengadakan sebuah majlis istimewa untuk mengiktiraf 30 buah sekolah yang telah berjaya melaksanakan program rintis Maxis eKelas. 30 buah sekolah tersebut, yang terdiri daripada 900 pelajar dan 120 guru, merupakan antara yang pertama diperkenalkan kepada program Maxis eKelas, satu perkhidmatan pembelajaran interaktif secara talian yang dilancarkan pada tahun 2012.

Program ini merangkumi alat pengajaran dan pembelajaran tambahan yang efektif dengan memanfaatkan kemudahan ICT yang sedia ada di sekolah.

Selaras dengan pelaksanaan program rintis ini, Maxis dan KPM sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan Maxis eKelas ini pada skala yang besar kepada 2,300 buah sekolah menengah kebangsaan di seluruh Malaysia secara percuma bermula bulan Jun ini.

Para pelajar dan guru daripada sekolah yang mengambil bahagian diberi alat pembelajaran tambahan secara talian yang memfokuskan kepada pemerolehan pengetahuan melalui penyesuaian, eksperimen dan pengalaman berdasarkan senario kehidupan harian yang relevan. Kandungan dan cara penyampaian Maxis eKelas ini adalah bersesuaian dengan keperluan pelajar dan terus diacu untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang inovatif.