Maya Karin bakal lancar single raya


27 Jun – Ramadan bakal menjelang tiba tidak lama lagi, pelbagai aktiviti masih lagi menghiasi kalendar aktres jelita Maya Karin yang tetap sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

Selain sibuk menghadiri majlis pelancaran dan promosi bagi filem terbarunya "Lagenda Budak Setan 3" (LBS3) bersama pelakon Farid Kamil, Maya juga tetap berkesempatan meluangkan masa dengan aktiviti persembahan nyanyiannya memandangkan album terbarunya berjudul "Teka-teki" telah dilancarkan baru-baru ini.

Berpeluang menemui pelakon cantik berusia 34 tahun ini majlis esklusif pelancaran 'Kad Amal & Kad Ucapan Hari Raya' filem "LBS3", Maya sempat menceritakan antara aktivitinya di bulan Ramadan yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi.

Ayuh kita ikuti tembual bersama heroin filem "Lagenda Budak Setan 3" ini!

Hai & Assalamualaikum Maya. Apa khabar?
Hai semuanya, Waalaikumussalam, saya di sini Alhamdulillah baik-baik sahaja.

Pertama sekali, boleh ceritakan sedikit di antara persiapan Maya menyambut Ramadan kali ini?
Persiapan menyambut bulan Ramadan kali ini masih seperti biasa dan saya masih sibuk bekerja walaupun sibuk menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini saya akan melancarkan single raya berjudul "Pulang" khas buat peminat yang sering menantikan lagu raya dari saya dan ini saya tujukan khas buat anda di luar sana.

Seperti yang kita tahu, lagu raya berjudul "Pulang" ini sudah didengarkan pada Aidilfitri tahun lepas, adakah anda memberi nafas baru pada lagu tersebut atau bagaimana?
Ya, betul. Sebenarnya lagu ini sudah pun saya nyanyikan secara tidak rasmi pada tahun lepas. Ramai yang menyukai lagu tersebut dan pihak saya sendiri tidak berpeluang untuk mengadakan promosi untuk lagu tersebut. Jadi kali ini kita akan buat sekali lagi secara rasmi aktiviti mempromosikan lagu terbabit dan akan memasarkan single raya ini sempena Ramadan nanti.

Selain itu, apakah aktiviti kerjaya Maya yang terikat dengan jadual anda dan perlu diselesaikan dalam bulan Ramadan ini?
Memang banyak kerja yang harus saya lunaskan sepanjang bulan puasa ini. Walaupun penat berpuasa saya tetap berasa puas dapat menyempurnakan semuanya dan menganggap ianya sebagai satu ibadah di samping menumpukan ibadah puasa. Untuk single raya saya nanti, kita akan adakan aktiviti penggambaran untuk video klip "Pulang" di bulan puasa untuk mendapatkan 'mood' yang sesuai dan santai. Selain itu, saya juga akan sibuk dengan rakaman program Raya yang kebanyakannya akan bersiaran di kaca televisyen nanti apabila menjelang Syawal.

Bagaimana sambutan Aidilfitri kelak dan di manakah Maya akan menyambut lebaran kali ini, adakah merayakannya bersama keluarga di kampung halaman?
Pada Hari Raya Aidilfitri nanti saya tidak berkesempatan menyambutnya bersama teman-teman dan para peminat di Malaysia kerana saya akan berangkat ke London beberapa sebelum Aidilfitri untuk meraikannya bersama bapa dan adik saya yang menetap di sana. Sambutan di sana tidak kurang meriahnya berbanding di sini kerana ramai warganegara Malaysia yang menetap di sana. Saya tidak mempunyai ahli keluarga di sini, teman lelaki pun tiada jadi selalunya selepas sahaja habis kerja di Malaysia akan balik ke sana dan kini boleh dikatakan hampir setiap masa saya akan berulang alik dari Malaysia ke London.


Pada bulan September nanti, filem terbaru lakonan Maya iaitu "Lagenda Budak Setan 3" akan keluar di panggung seluruh Malaysia, boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda sebagai Katerina di dalam filem ini?
Memegang watak Katerina di dalam filem ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan ianya amat mencabar kredibitliti saya sebagai seorang pelakon. Watak ini memerlukan saya untuk bermain dengan emosi dan perasaan. Saya perlu melakonkan banyak babak sedih dengan perlu menangis hampir setiap masa memandangkan jalan penceritaan filem ini yang lebih dramatik dan melibatkan banyak konflik di antara tiga pasangan. Apabila muncul perasaan kecewa saya perlu menangis, marah pun kena menangis juga jadi boleh saya katakan ianya agak berat dan membuat diri saya berasa penat.

Boleh Maya ceritakan serba sedikit mengenai fokus perjalanan cerita filem "LBS3" ini?
Filem "Lagenda Budak Setan 3" kali ini merupakan sekuelnya yang ketiga dan juga bakal menjadi pengakhir kepada siri filem ini. Oleh kerana "LBS 3" bakal menutup tirainya jadi jalan ceritanya agak rumit sedikit di mana filem ini bakal menyingkap cerita yang melibatkan tiga pasangan iaitu, Kasyah dan Katerina, Hisyam dan Sofean serta Zahirah dan Shan. Ketiga-tiga ini melalui jalan mereka yang berbeza namun di akhir penceritaan ianya mempunyai kaitan di antara satu sama lain.

Baru-baru ini berlangsungnya pelancaran teater Supermokh dan Maya bakal terlibat sekali lagi dengan pementasan teater ini walaupun sebelum ini Maya pernah menegaskan tidak akan berlakon teater ini lagi, apa komen anda?
Ya, saya tidak menafikan sememangnya saya telah menarik diri dan tidak mahu lagi menyertai pementasan teater Supermokh ini kerana merasakan saya tidak mampu untuk memberikan yang terbaik di dalam pementasan ini nanti. Beban yang dipikul agak terlalu berat buat saya dan saya tidak mahu kecewakan sesiapa. Namun, tindakan saya untuk menarik diri telah menyebabkan kru produksi teater ini protes dan tetap menginginkan saya untuk bekerjasama semula dengan mereka. Hans Isaac selaku penerbit teater ini turut berbincang dan memujuk saya menyatakan tidak ada pelakon lain yang boleh menggantikan tempat saya. Paling saya terharu apabila pengarah muzik teater ini iaitu Michael Veerapen menelefon saya sendiri untuk menyatakan hasratnya mahukan saya kembali. Oleh kerana tidak ingin menghampakan harapan semua orang, saya terima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka.

Mengapa Maya menukar fikiran untuk menyertai pementasan Supermokh ini kembali, adakah kerana tawaran lumayan yang diberikan?
Sejujurnya ianya bukan kerana duit. Saya tidak mahu kecewakan sesiapa dan telah meletakkan beberapa syarat supaya jadual persiapan untuk teater ini berjalan dengan lancarnya dan saya dapat memberikan yang terbaik kepada semua penonton. Pertama sekali, saya inginkan slot yang membolehkan saya menari atau berdansa kerana tidak berkesempatan melakukannya sebelum ini kerana pada pementasan yang pertama tahun lalu saya hanya berpeluang untuk menyanyi dan berlakon sahaja. Selain jadual promosi yang dikurangkan, aktiviti latihan juga lebih tersusun supaya banyak masa tidak terbuang begitu sahaja dan dapat memberi lebih fokus terhadap mood dan penghayatan watak saya sebagai Datin Tengku Zarina di dalam teater ini.

Sebelum mengakhiri perbualan kita pada kali ini, ada apa-apa ucapan khas buat peminat Maya di luar sana?
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat saya yang setia memberikan sokongan terhadap kerjaya saya tidak kira dari segi nyanyian mahupun bidang lakonan. Saya mengharapkan anda semua menantikan filem terbaru saya yang bakal keluar tidak lama lagi selepas Aidilfitri nanti dan semoga filem "LBS3" ini berjaya hasil kerjasama anda semua yang memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terutamanya kepada filem tempatan kita. Nantikan single raya saya yang akan keluar tidak lama lagi.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Selamat menyambut bulan Ramadan!
Sama-sama kasih, terima kasih buat semuanya yang sentiasa menyokong kerjaya saya selama ini. Selamat berpuasa di bulan Ramadan nanti!