MB Selangor akui kelemahan dalam politik, tubuh ‘political liaison’

MB Selangor akui kelemahan dalam politik, tubuh ‘political liaison’

Oleh Md Izwan dan Ida Lim


PETALING JAYA, 25 Mei — Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengakui kelemahan tidak bijak dalam berpolitik, justeru mengumumkan akan menubuhkan satu “political liaison” di dalam pejabat menteri besar.

Walaupun Abdul Khalid dilantik sebagai menteri besar untuk penggal kedua, kontroversi tercetus apabila Timbalan Presiden PKR Azmin Ali difahamkan juga mengintai jawatan penting di negeri terkaya tersebut serta mengkritik secara terbuka Abdul Khalid sebagai seorang kedekut dan tidak pandai berpolitik.

“Rakan-rakan memberitahu saya, salah satu kelemahan Tan Sri adalah kerana tidak pandai dalam permainan politik.

“Untuk itu, saya terima ... saya terima,” kata Abdul Khalid.

Menteri besar negeri Selangor tersebut berkata penubuhan “political liaison” tersebut akan mengendalikan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang dilantik akan terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.

“Saya terima masalah itu dan saya bersetuju untuk mengumumkan pejabat menteri besar akan ada 'political liaison'

selepas ini.

“Ia adalah sebuah pejabat yang akan menempatkan mereka yang benar-benar tahu tentang usaha-usaha perkembangan politik dalam negeri,” katanya lagi.

Menurut Khalid, langkah tersebut diambil bagi memastikan perubahan dilakukan bagi mengukuhkan masa depan PKR dan supaya Pakatan Rakyat (PR) terus dipercayai oleh rakyat yang memilih mereka semasa Pilihan Raya 2013 5 Mei lalu.

“Pelaksaan politik kalau ikut pengurusan yang terlalu kaku, ia tidak memberi peluang untuk membuat beberapa perubahan.

“Politik sentiasa berubah-ubah, jadi perubahan itu perlu bawa kepada kepercayaan yang boleh mengerakkan kita ke depan dengan rakyat,” tambahnya lagi

Dalam perkembangan sama, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutupnya mengumumkan Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution akan diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan “political liaison” yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat itu.

Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 14 Mei lalu, ia sekali gus menamatkan spekulasi yang sudah berlarutan selama seminggu tentang siapa pemimpin daripada gabungan parti PAS, PKR dan DAP (PR), yang akan mengisi kerusi menteri besar selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Walaubagaimanapun, sebelum Abdul Khalid dilantik sebagai menteri besar, pelbagai kontroversi berlaku di dalam kepimpinan parti PKR terutamanya apabila Azmin mengadakan satu sidang media tergempar dan mengkritik proses perlantikan jawatan itu yang tidak dibuat secara konsensus, malah kepimpinan negeri sendiri tidak mengetahui tentang nama calon.

Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008 manakala barisan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah pada 23 Mac, iaitu 10 hari selepas itu.

Beliau juga merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Kesemua 13 MB Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).

Pada PRU13, PR memenangi 44 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.

PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.

Beberapa hari lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyatakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.