Advertisement

MB Selangor pertahan isteri dapat pembantu khas

Sidang tergempar DUN Selangor boleh selesai krisis MB, kata bekas hakim

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan kedudukan isterinya sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan layak mendapat pembantu khas yang dibiayai oleh Menteri Besar Incoporated (MBI).

Khalid berkata, isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut memerlukan pembantu bagi menguruskan kerja kebajikan sosial dan kemasyarakatan yang dikendalikan pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, MBI tidak memberi elaun kepada Salbiah serta ahli jawatankuasa Pekawanis lain.

"Beliau pengetua kepada wanita yang dilantik oleh speaker, timbalan speaker, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara yang berada di Selangor," katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib yang mempersoalkan peruntukan pembantu khas kepada isteri menteri besar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut Khalid, pembantu khas Salbiah yang juga Setiausaha Pekawanis dilantik melalui MBI secara kontrak selama dua tahun menerima gaji, elaun, elaun telefon bimbit, selain perlindungan insuran.

Memandangkan pembantu khas itu bekerja dibawah naungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, Khalid berkata beliau layak mendapat hak sama seperti pegawai MBI lain termasuk sebulan setengah bonus.

"Kalau ditanya isteri saya tidak perlu dibayar bonus tetapi oleh kerana pembantu khas juga warga kerja MBI dia akan dapat satu bulan setengah gaji seperti dinikmati pegawai MBI lain," katanya.

Pekawanis ditubuhkan sejak tahun 2008 fokus kepada aktiviti membantu kebajikan wanita terutamanya yang berpendapatan rendah dan dibawah paras kemiskinan selain golongan ibu tunggal. – 16 April, 2014.