Advertisement

Memori Raya Selebriti Tempatan

Aidilfitiri bakal menjelang tidak lama lagi dan ia pasti disambut meriah oleh semua masyarakat Islam yang telah menjalani ibadah berpuasa selama sebulan. Dalam menyambut hari yang mulia dengan meriah, pasti terselit kenangan manis atau pahit sepanjang meraikannya.

Kami kepilkan sepuluh selebriti tempatan yang turut berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.

LUFYA


"Memori Hari Raya yang paling tidak boleh dilupakan adalah ketika saya berusia lima tahun dimana ketika itu masih ada tradisi berkunjung ke rumah yang tidak dikenali. Saya pun mengambil kesempatan itu untuk pergi beraya ke rumah orang yang tidak dikenali sehingga tidak sedar saya sudah berjalan jauh menuju ke Istana Johor ketika itu. Sesudah sampai, pelbagai hidangan menarik tersedia dan ketika itu saya merasakan seperti di syurga! Dapatlah duit raya RM2, satu nilai yang agak tinggi buat saya ketika itu."

SHAHEIZY SAM


"Kenangan yang paling tidak boleh saya lupakan adalah ketika kecil dahulu adalah beraya rumah ke rumah bersama kawan-kawan. Sehingga sekarang, rasanya perkara itu masih lagi dipraktikkan. Peluang berkumpul sebegitu jarang sekali dapat dilakukan, oleh itu saya akan gunakan sebaiknya. Kawan-kawan saya adalah yang terbaik!"

ALIFF SATAR


"Pengalaman yang saya tidak lupakan berlaku ketika di kampung dan sedang leka bermain mercun. Ketika itu, saya akan berlawan mercun untuk lihat siapa lagi hebat dan kuat dengan jiran sebelah. Ketika membakar mercun , tidak semena-mena mercun tersebut tersalah target dan pergi ke hutan . Tidak sangka disebabkan mercun itu, berlakunya kebakaran di dalam hutan tersebut. Selepas kejadian itu, saya menjadi serik untuk bermain mercun dan itu adalah kali terakhir saya bermain mercun."

KAKA AZRAF


"Kenangan yang paling tidak boleh dilupakan ketika Hari Raya adalah pada tahun lepas dimana saya pulang ke kampung di Kedah. Ketika itu masih banjir, jadi saya dan keluarga terpaksa beraya dengan keadaan rumah yang masih dimasuki air, memang agak sedih tapi bila difikirkan kembali rasa kelakar dan menjadikannya sebahagian pengalaman hidup saya. Bukan senang nak dapat memori itu. Mudah-mudahan perayaan tahun ini tidak akan jadi lagi perkara seumpama itu."

AZNIL HJ. NAWAWI


"Disebabkan Pak Nil tiada kampung, Pak Nil beraya di Kuala Lumpur sahaja. Bosan juga kalau diikutkan, tetapi yang seronoknya jalan di Kuala Lumpur memang lenggang dan boleh berjalan ke mana sahaja. Walau apa pun, Pak Nil akan sentiasa dahulukan anak-anak setiap Hari Raya."

SCHA AL-YAHYA


"Saya memang suka bermain mercun dengan saudara lelaki. Pada satu hari, saya tidak sedar saya telah mencederakan tangan saudara saya. Ketika itu masih kecil lagi namun bekas luka tersebut sehingga kini masih ada. Umur saudara saya sekarang lebih kurang 21tahun. Setiap kali saya berjumpa dengan dia, pasti teringat. Sememangnya kenangan Hari Raya yang tidak boleh dilupakan!"

JEHAN MISKIN


"Saya tak ingat umur berapa ketika itu, tetapi memori itulah yang saya tidak boleh lupakan apabila pertama kali menerima duit raya daripada makcik saya. Zaman itu RM2 memang besar dan macam-macam boleh beli. Saya memang gembira dan sampai sekarang tidak boleh lupa."

HANIS ZALIKHA


"Pada saya, memori manis ketika Hari Raya yang tidak boleh dilupakan adalah saya berpeluang bermain mercun dan berlawan dengan jiran sebelah. Itu adalah pengalaman terakhir saya kerana sekarang saya dah tiada kampung. Bagi anda yang masih ada kampung, hargai kampung anda! Balik selalu!"

DIANA DANIELLE


"Saya memang berharap masa dapat berputar kembali. Saya mahu pergi kembali ke zaman saya masih kecil dimana atok dan nenek saya yang berasal dari Perak masih ada. Nenek saya amat suka memasak dan ketika itu apa sahaja yang saya inginkan akan dapat. Kenangan dapat duit raya masa kecil pun antara memori yang saya tidak boleh lupakan . Kini saya pula yang harus berikan duit raya kepada orang. Jika dahulu semua jenis kuih kami buat sendiri namun semenjak mereka sudah tiada, itu semua kami beli sahaja. Itu antara kenangan paling manis saya tidak boleh lupakan ketika beraya."

ZIZAN RAZAK


"Ketika itu hari Raya Pertama dimana orang lain sibuk mahu pergi berkunjung ke rumah sanak saudara, saya di luar bermain mercun. Tidak sangka, mercun yang dibakar masuk ke rumah sehinggakan langsir terbakar. Itu kenangan paling tidak boleh saya lupakan. Langsir di rumah orang lain elok sahaja, tetapi langsir di rumah saya tidak cukup disebabkan kelalaian saya bermain mercun."