Advertisement

Meniti usia senja di rumah penjagaan warga tua

Sewaktu kaki melangkah masuk ke rumah penjagaan St Prichard Labuan, penulis terpandang sesusuk tubuh yang kelihatan tidak bermaya duduk bersendirian di sebuah kamar.

Di wajahnya terpancar kesayuan. Penulis menyapa warga tua berusia 79 tahun ini dengan bertanya bagaimana beliau menjadi penghuni di situ.

Dengan nada suara yang lemah, warga emas bernama James itu memberitahu bahawa dia diusir keluarga dari rumah bersama-sama dengan anak lelakinya yang cacat dan menggunakan kerusi roda.

James yang tidak ada tempat untuk dituju kemudian datang ke rumah penjagaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

"Tidak diperlukan, tidak disayangi, tidak dijaga, dilupai semua orang. Tiada nasib yang lebih teruk daripada ini yang boleh menimpa seseorang.

"Di sini saya insaf yang saya sudah tidak lagi mempunyai rumah. Sekarang saya tinggal di rumah penjagaan, semuanya sudah tiada. Hanya menunggu saat menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Seorang lagi penghuni dikenali sebagai Ibu Mariana turut meluahkan kesedihan kerana disisih keluarga sendiri dan tidak ada sesiapa menjenguk wanita berusia 83 tahun itu walaupun pada Hari Raya.

"Saya ada seorang anak perempuan yang sudah lima tahun tidak bersua. Rasanya seperti anak saya ini tidak mahu mengambil tahu langsung tentang diri saya,” katanya yang menghabiskan masa menonton televisyen dan membaca.

"Kadangkala saya hanya menangis di katil sepanjang malam. Saya cuba memujuk hati ini tetapi ada kalanya saya tidak dapat menahan air mata,” katanya.

Usaha rumah penjagaan ini untuk menghubungi anak perempuannya masih gagal.

Hakikatnya, kedua-dua warga tua ini tidak keseorangan terutama daripada segi nasib yang menimpa mereka. Terdapat ribuan lagi warga tua yang menghadapi nasib yang sama seperti James dan Ibu Mariana.

Sebanyak 10 peratus daripada rakyat Malaysia terdiri daripada warga berusia lebih 60 tahun iaitu kira-kira tiga juta semuanya dan jumlah ‘warga tua yatim piatu' turut meningkat.

Keadaan ini akan menjadi semakin mendesak menjelang 2020 kerana lebih ramai rakyat Malaysia mencecah usia tua dengan tempoh hayat yang semakin meningkat menyebabkan ramai daripada mereka ini hidup tanpa pasangan, tanpa darah daging sendiri atau anak tiri serta adik beradik kandung atau tiri.

Kebanyakan mereka mahu hidup berdikari selama yang boleh dengan meneruskan rutin harian, mengekalkan hidup bersendirian dan menjaga maruah diri.

Bagaimanapun, faktor penuaan sering menghalang mereka untuk kekal berdikari dan akhirnya terpaksa mendiami rumah penjagaan.

Kunjungan penulis ke rumah penjagaan yang mempunyai 78 penghuni ini membuka mata akan nasib malang warga tua yang amat memerlukan perhatian.

Sungguhpun mereka mungkin sudah ada tempat untuk berlindung, tetapi masih kurang sokongan emosi daripada keluarga walaupun sedikit sebanyak diterima daripada pekerja kebajikan.

Mereka patah hati, menangis sendiri dan putus harapan. Tiada siapa yang sudi melawat mereka dan kebanyakannya sudah dipinggirkan buat selama-lamanya. Penjaga rumah berkenaan turut mengakui wujud pengabaian itu sedangkan mereka masih mendambakan kasih sayang.

Penyelidik kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Otiong, berkata kebanyakan warga tua yang sudah mengalami kemurungan akan bertambah tertekan perasaan apabila mereka terpaksa tinggal di rumah penjagaan.

Di samping kemurungan, katanya, mereka mengalami masalah hilang ingatan dan kemampuan fizikal, sakit atau penyakit kronik, kematian orang yang disayang serta masalah kewangan.

Katanya, kebanyakan warga tua memendam perasaan kerana bimbang orang menganggap akan mereka nyanyuk dan perlu dimasukkan ke rumah penjagaan.

"Bayangkan jika anda berada dalam kedudukan mereka, tidak boleh bercakap di telefon, tidak boleh keluar berjalan-jalan, pergi ke rumah ibadat atau membaca akhbar.

"Mungkin ramai orang yang anda sayang sudah meninggal dunia atau berpindah jauh. Meminta tolong bukan lagi satu pilihan. Bayangkan betapa sunyinya hidup.

"Sesetengah warga tua ini mempunyai saudara mara tetapi tidak seorang pun datang menziarahi mereka. Kami juga diberitahu ada warga tua sampai tidak ingat kali terakhir saudara mara menjengah mereka", katanya.

Bagaimanapun, dengan semakin bertambahnya penduduk warga tua, rakyat Malaysia perlu mencari kaedah lebih baik untuk menampung keperluan mereka, bukan setakat meninggalkan mereka mengeluh nasib di rumah penjagaan.

Menjaga ‘warga tua anak yatim’ ini perlu juga mengambil kira keperluan emosi mereka seperti menjaga anak yatim.

Jangan sesekali lupa bahawa menjaga warga tua bukan tanggungjawab kerajaan tetapi tanggungjawab keluarga sendiri. - Bernama, 6 November, 2013.