Menjelang perbicaraan presiden, Isma kata ‘Islam di atas, kafir di bawah’

Hasut keluar Sabah, Sarawak, politik ‘kehaiwanan’, kata Isma

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) meneruskan tekanan menjelang perbicaraan presidennya, Abdullah Zaik Abd Rahman, dengan mengatakan kedudukan Islam adalah di atas golongan bukan Islam atau kafir.

Beliau juga mengatakan undang-undang Islam tidak hanya terpakai untuk orang Islam tetapi mesti juga digunakan dalam mentadbir orang bukan Islam demi kesejahteraan seluruh masyarakat.

Dalam tulisan artikel di laman ismaweb.net, Ahli Jawatankuasa Pusat Isma, Abdul Halim Abdullah berkata, perkara tersebut adalah ketentuan Allah.

"Di antara prinsip Islam yang paling utama adalah kedudukan Islam mesti di atas dan kekafiran di bawah.

"Ia adalah ketentuan Allah dalam banyak ayat-Nya dan hadis Nabi," kata Halim.

Atas alasan tersebut, katanya, umat Islam perlu sentiasa berada di atas dan menjadi pemimpin.

"Justeru, kedudukan orang dan umat Islam juga mesti di atas orang bukan Islam. Mereka mesti memimpin atau di posisi ketuanan," katanya yang juga memetik hadis Nabi dalam artikel tersebut.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 kerana menuduh kaum Cina sebagai pendatang.

Mahkamah Sesyen Kajang pada 18 Julai lalu menetapkan 13 hingga 15 Oktober ini bagi perbicaraan kes itu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Halim juga membidas pendirian yang mengharapkan undi bukan Islam dan Melayu sebagai punca perpecahan dan kelemahan umat Islam.

"Di Malaysia, dengan sistem yang ada, perpecahan dan kelemahan umat Islam sambil mengharap undi Cina dan India hari ini menyebabkan seringkali kedudukan Islam, status agama negara, kedudukan raja Islam dipersoalkan oleh warga bukan Islam di negara ini," katanya.

Halim juga melahirkan rasa tidak senang apabila orang bukan Islam di negara ini bebas melakukan perkara yang dilarang agama Islam.

"Mereka bebas terang-terangan melakukan maksiat seks, bercumbuan, berpesta arak dan sebagainya di medan terbuka atau di media sosial, bahkan dengan dipertahankan oleh segelintir orang Islam sendiri," katanya.

Halim berpendapat, tanggapan umum yang mengatakan undang-undang Islam hanya terpakai kepada orang Islam adalah salah. Sebaliknya, katanya, pelaksanaannya mesti meliputi orang kafir juga.

"Kepercayaan bahawa undang-undang larangan maksiat di mata awam hanya ke atas umat Islam sahaja, walaupun agama mereka sendiri turut menegah perbuatan tersebut, adalah tanggapan yang salah.

"Ramai umat Islam sudah tidak lagi merasakan agama Islam sebenarnya mesti turut mentadbir warga bukan Islam dan melaksanakan undang-undang ke atas mereka, lebih-lebih lagi dalam kesalahan yang boleh memberi kesan kepada umum," katanya.

Dalam artikel itu juga, Halim berkata status "Islam di atas, kafir di bawah" adalah penting untuk dipertahankan demi memastikan kesejahteraan masyarakat.

"Oleh itu, 'Islam dan umatnya berada di atas kekafiran' bukan sahaja suatu ketentuan dan arahan Allah, bahkan ia keperluan bagi kesejahteraan kemanusiaan sejagat," katanya. – 11 Oktober, 2014.