MH17: Malaysia jadi mangsa pertembungan geopolitik, kata Najib

Masalah geopolitik di antara negara yang terlibat dengan puak pemberontak menyukarkan Malaysia untuk memulakan proses seterusnya dalam insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata apa yang menjadi kepentingan pada masa ini adalah mencari fakta sebenar berhubung kejadian pesawat berkenaan agar tidak terus memberi tekanan kepada keluarga mangsa.

"Kita menjadi mangsa kepada pertembungan geopolitik yang sengit di kawasan tersebut.

"Pandangan kita adalah untuk mengukuhkan fakta dahulu dan tak terlibat dalam geopolitik, permainan di kawasan itu dan kerumitannya.

"Kita hanya berminat mendapatkan fakta dan saya fikir bila fakta diketahui, baik untuk ahli keluarga," katanya dalam satu sidang media di Angkasapuri petang ini.

Putrajaya setakat ini mengesahkan 298 penumpang ‎terkorban; 189 daripadanya warga Belanda, 44 warga Malaysia, Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (9), Jerman (4), Belgium (4), Filipina (3), Kanada (1) New Zealand (1).

Manakala identiti empat mangsa masih dikenal pasti.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di timur Ukraine, tidak jauh dari sempadan Rusia semalam.

Najib berkata pasukan penyiasat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 perlu segera dibenarkan memasuki kawasan nahas, selain jaminan keselamatan yang perlu diberikan.

Katanya, segala bahan bukti di kawasan berkenaan juga mesti tidak diganggu supaya memudahkan kerja siasatan.

"Saya baru selesai menghubungi presiden Putin. Saya tegaskan amat penting pasukan siasatan memasuki kawasan pesawat MH17 terhempas secepat mungkin.

"Maka perlu pasukan ini diberikan jaminan keselamatan selain kawasan tidak diganggu, tidak diusik apa jua bahan bukti untuk dijadikan asas," katanya selepas mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Rusia Vladimir Putin di Angkasapuri petang ini.

Perdana menteri lewat petang semalam mengumumkan akan memanggil sidang tergempar Parlimen bagi mengutuk serangan terhadap pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Perdana menteri berkata walaupun kerajaan Malaysia tidak menuding jari terhadap mana-mana pihak, namun serangan berkenaan merupakan tindakan tidak berhati perut dan tidak bertanggungjawab.

"Selalunya sebagai menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia maka saya selaku perdana menteri memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentang usul mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut," katanya dalam perutusan khas insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 malam ini.

Ketika ditanya The Malaysian Insider, bilakah akan diadakan sidang tergempar tersebut, Najib berkata pada Rabu, 23 Julai depan.

Najib berkata Jalur Gemilang di seluruh negara juga akan dikibarkan separuh tiang bermula hari ini sehingga Isnin.

Katanya, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya saran kepada umat Islam untuk bersolat hajat dan berdoa agar negara Malaysia selamat," katanya. – 18 Julai, 2014.