MH17 tidak bernasib baik guna laluan ruang udara bergolak, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) tidak bernasib baik apabila MH17 menggunakan ruang udara bergolak dan ditembak kumpulan pemisah di sempadan Ukraine semalam.

Bekas perdana m

enteri itu berkata MH17 tidak bernasib baik apabila menjadi mangsa kumpulan pemisah yang terlibat dalam konflik kawasan itu.

"Ini suatu yang tidak bernasib baik kerana kawasan itu sedang berlaku peperangan dan terdapat kumpulan pemisah.

"Mereka bukan askar yang berdisiplin," katanya dipetik dari portal One News (www.malaysia1news.my).

Beliau berkata pejuang pemisah boleh sewenang-wenangnya melepas tembakan tanpa mengira sesiapa sahaja di wilayah bergolak.

"Pemisah tidak mempunyai disiplin sama dengan tentera, mereka tembak tanpa ambil kira apa yang berlaku dan saya diberitahu kawasan tersebut banyak pesawat penumpang terbang.

"Ia mungkin berlaku kepada penerbangan lain tapi ia berlaku kepada MAS. Ini pasti tragedi berganda selepas MH370," kata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

Dr Mahathir berkata beliau sedih dengan tragedi kedua yang berlaku ini, serta bersimpati kepada keluarga mangsa penumpang insiden tersebut.

"Saya bersimpati kepada ahli keluarga dan mereka yang berkaitan dengan penumpang dalam pesawat ini," katanya.

Malaysia hari ini digemparkan dengan berita pesawat MAS Boeing 777 ditembak jatuh dari udara selepas empat bulan pesawat MH370 hilang dari radar.

Pesawat MH17 yang terbang 300 meter di atas kawasan larangan apabila ditembak jatuh kumpulan pemberontak di timur Ukraine mengorbankan 298 nyawa.

Media barat menuduh kumpulan pemberontak pro-Russia terlibat dalam tembakan itu.

Ekoran itu, semua pihak membantahnya dan mengharapkan siasatan terperinci dibuat dan penjenayah itu dibawa ke muka pengadilan.

Awal hari ini, laporan media mendedahkan beberapa negara Asia berhenti menggunakan laluan penerbangan MH17 yang ditembak semalam sejak berbulan lepas kerana konflik di Ukraine.

Dua penerbangan Korea Selatan, Korean Air dan Asiana serta Australia Qantas tidak lagi menggunakan laluan tersebut sejak April selepas tentera Rusia bergerak ke Crimea.

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan laluan tersebut selamat seperti digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai juga mempertahankan MH17 menggunakan laluan tersebut kerana dikatakan selamat oleh ICAO.

Liow juga menafikan tidak menukar laluan merentasi ruang udara Ukraine kerana mahu menjimatkan minyak.

Bagaimanapun, MAS hari ini mengumumkan menukar semua laluannya di Eropah ke laluan alternatif bagi mengelak ruang udara Ukraine selepas pesawat MH17 Boeing 777 terhempas di kawasan itu semalam. – 18 Julai, 2014.