MH370: Polis nafikan Kapten Zaharie bertanggungjawab

Tak berhak salahkan adik saya, kata kakak juruterbang MH370

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kesal dengan laporan berita The Sunday Times United Kingdom yang mendakwa konon Kapten Zaharie Ahmad Shah (gambar) bertanggungjawab atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Datin Asmawati Ahmad berkata laporan berita itu tidak berasas sama sekali dan diolah secara tidak bertanggungjawab.

"Pada 19 dan 20 Jun lalu, akhbar The Sunday Times, United Kingdom menghubungi PDRM untuk mengetahui perkembangan terkini berhubung misteri kehilangan MH370.

"Jawapan yang diberi menjelaskan bahawa siasatan masih diteruskan, belum konklusif dan merangkumi semua aspek penyiasatan.

"PDRM tidak membuat kenyataan bahawa Kapten Zaharie merupakan suspek utama dalam insiden tersebut," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam laman webnya hari ini, akhbar berkenaan memetik PDRM kini mengganggap suspek utama di sebalik kehilangan pesawat MH370 adalah juruterbang penerbangan tersebut iaitu Kapten Zaharie.

Ia menyebut, Zaharie kini menjadi sasaran selepas semua yang lain dalam pesawat "dibersihkan".

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di perairan selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di kawasan tersebut. – Bernama, 22 Jun, 2014.