Advertisement

Mishar, bakat dan perkembangan seni kartun di Malaysia (Bahagian 2)

Jarak umur yang jauh antara saya dan Mishar tidak memungkinkan perhubungan kami rapat. Kami jarang bercakap atau bertukar pandangan. Saya anak bongsu dan beliau paling tua di kalangan 8 orang adik-beradik.

Mishar juga seorang yang pendiam dan hanya bercakap untuk perkara penting sahaja. Apatah sewaktu di zaman kegemilangannya sewaktu era Gila-Gila dulu. Beliau hanya menjenguk kampung sekali-sekala sahaja khususnya apabila menjelang hari raya, mungkin disebabkan terlalu sibuk menguruskan hal-hal dunia dan materi.

Saya hanya berasa nilai kemesraan antara adik dan abang apabila beliau sudah tidak punya apa lagi, apabila usia sudah meniti senja. Perjalanan nasib manusia umpama musim, juga seperti roller coaster.

Begitulah juga dengan Mishar. Dugaan yang melanda hidupnya memang berwarna-warni dan saya tahu beliau seorang penerima takdir yang baik.

Saya tidak pernah merasai nikmat hidup sebagai orang kaya, jadi saya tidak tahu apa rasanya hidup seperti orang kaya, malah saya tidak pernah berangan untuk ke situ.

Mishar pula pernah hidup sebagai seorang usahawan berjaya dan merasai nikmat sukses dan senang, bergelar bos, punya segalanya sesuai dengan status sebagai pengarah urusan di Gila-Gila.

Walau siapapun Mishar, dia tetap abang saya dan berbangga dengan apa yang dicapainya sebagai seorang insan seni revolusioner yang berjaya memberikan warna menarik dan penting di dalam industri seni kartun di Malaysia.

Saya pernah tinggal serumah dengan kartunis yang bekerja di majalah Batu Api seperti Aloy, Acai, Awang, Asan dan Bidi di Taman Ehsan di awal tahun 90an dulu. Waktu itu mereka menghadapi zaman malap. Gaji pun kadang-kadang lambat dapat.

Waktu itu majalah kartun yang mendapat tempat seperti majalah Ujang antaranya. Tidak tahu di mana silapnya, selera masyarakat semakin berubah waktu itu. Gila-Gila, Gelihati, Batu Api seakan menjauh daripada selera masyarakat. Umpama kedai makan yang gagal menepati selera pelanggan.

Selain kartunis Ujang yang paling menonjol, kartunis Aie juga berjaya menonjolkan identitinya dalam siri Blues Untuk Aku sehingga trademark miliknya menjadi ikutan ramai kartunis dan pelukis di era itu.

Zaman ini langsung majalah-majalah yang menjadi kebanggaan kita semakin kurang digemari. Kanak-kanak dan remaja hari ini lebih suka membaca Lawak Kampus dan majalah sewaktu dengannya.

Gila-Gila masih diterbitkan, tapi itulah...tidak tahu sampai bila majalah itu boleh bertahan.

Cuba kita bertanya kepada diri sendiri mengapa kita juga sudah tidak melanggan dan membaca majalah Gila-Gila walau ia masih diterbitkan sehingga hari ini?

Saya bertanya kepada anak-anak saya , seorang berumur 12 tahun dan seorang lagi 9 tahun. Mereka tidak pernah ketinggalan dalam setiap isu membeli majalah kartun popular zaman ini, Lawak Kampus.

Kata mereka cerita dalam Lawak Kampus kelakar dan menarik walaupun tulisannya kecil sahaja. Yang pasti mereka memang bukan peminat majalah Gila-Gila.

Majalah komik terbitan Art Square yang mendapat perhatian sejak mula diterbitkan pada 1998 sehingga ke hari ini adalah majalah Gempak dengan motonya “Majalah Komik Jenerasi Baru”.

Siri-siri komik mereka termasuklah siri Lawak Kampus yang pelukisnya Keith dan Zelo, kartunis era masa kini.

Saya sempat bertanya kepada rakan-rakan kartunis juga pelukis yang masih aktif berkarya sehingga ke hari ini walau dalam genre dan medium yang berbeza. Apa bezanya kartun dulu dan sekarang?

Antara rakan-rakan pelukis mahupun kartunis yang memberikan pendapat mereka:

Mohd Foad Hassan (pelukis profesional/karikatur terkenal)

“Mereka (kartunis dulu) mempunyai asas lukisan yang baik untuk menghasilkan kartun-kartun yg menampakkan cara penyusunan yang kemas, garisan yang padu, pengunaan ruang yang terperinci dan stail yang tersendiri, sungguhpun mereka tidak mendapat pendidikan yg formal dalam seni visual.

Dari segi idea dan cerita, cerita dulu boleh dilayan oleh semua peringkat umur, tapi kartun zaman sekarang cerita macam bubble gum, manis tapi tak berkhasiat.”

Ubi Marchino atau Hashim Man (pelukis dan peminat majalah kartun)

“Kalau membandingkan kartunis dan karya mereka antara yang dulu dan kini, amat ketara dan jauh berbeza. Dari segi nilai artistik, tema, mesej mau pun penceritaannya. Kehebatan kartunis lama setiap individu ada stail, stroke dan idea yang tersendiri.

Kita akan kenal siapa kartunis cuma dengan melihat stroke dan gaya cerita mereka. Idea dan tema yang dipersembahkan sangat mesra khalayak pembaca, meski pun sinis jenakanya namun sangat berkesan, contoh Mishar dengan Asmaradana, Don dengan Pendekar Mata Tiga, Kerengge dengan 3segi 4segi, idea dan cerita bervariasi.

Apatah jika kita memperkatakan tentang Datuk Lat dan arwah Rejab Had. Kartunis era kini bagai ada krisis identiti..Manga belaka..dah lah tu cerita dan idea lebih kurang sama.”

Kartunis/Aktivis Ronasina (Mohd Affandi Ramli)

“Kartun sekarang seperti sudah hilang akar budaya jati diri bangsa.Pengaruh komik dari Hong kong dan Manga dari Jepun membunuh industri kartun sehingga angkatan baru juga terpengaruh.

Contoh dahulu majalah kartun edisi raya sangat dinanti dan turut menjadi juadah kemeriahan hari raya tetapi hari ini teknologi telefon pintar mengambil alih semuanya.”

Abdullah Jones (pelukis terkenal dan kartunis)

“Kartun dulu dari segi teknikal lebih beridentitikan budaya tempatan. Strokenya ada jati diri. La ni kurang sikit, pengaruh anime kuat sangat. Masa paling best kartun sewaktu zaman emas Gila-Gila. Lepas tu budak-budak semua nak jadi dragon ball...”

Begitulah antara pandangan rakan-rakan pelukis tentang kartun dan perkembangannya.

Muzik sama saja dengan seni lukis mahupun kartun. Saya suka muzik lama terutamanya di era 70an. Tapi anak-anak saya lebih suka K-pop dan cerita-cerita dari Korea.

Saya membesar di era Gila-Gila, juga ramai kawan saya pun begitu. Tapi kanak-kanak di zaman ini mereka lebih sukakan Lawak Kampus dan majalah yang sewaktu dengannya.

Gila-Gila? Anak saya dan kawan-kawannya kata “tak kelakar”! – 10 Julai, 2014.

* Mishar, bakat dan perkembangan seni kartun di Malaysia (Bahagian 1).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
.