Model terbaru Nokia kini berada di pasaran tempatan

Setelah diumumkan pada Mobile World Congress 2013, Nokia kini memperkenalkan Lumia 720 dan 520 di Malaysia, yang dikuasakan oleh Windows Phone 8. Nokia juga memperkenalkan perkhidmatan “HERE” dengan model baru ini.

Direka khusus untuk generasi yang muda, Lumia 720 mempunyai badan polikarbonat yang diperbuat daripada sekeping plastik sahaja. Tambahan pula, ianya mempunyai kamera 6.7 megapiksel dengan kanta apatur f/1.9 yang membantu di dalam pengambilan gambar dalam keadaan yang gelap. Skrin yang sebesar 4.3 inci ini juga mempunyai teknologi ClearBlack, dan menggunakan prosessor dwi-teras selaju 1GHz, 512MB RAM, serta bateri sebesar 2000 mAh.

Lumia 520 pula direka untuk segmen telefon yang lebih mampu milik dengan ciri-ciri seperti skrin sebesar 4 inci, prosessor dwi-teras 1GHz, kamera 5 megapiksel dengan autofokus dan juga badan plastik yang boleh diubah-ubah. Oleh kerana telefon ini dipasarkan bagi segmen mampu milik, banyak fungsi-fungsi tidak dimasukkan ke dalam telefon ini, termasuklah NFC, ClearBlack dan juga flash untuk kameranya.

Di dalam kedua-dua model ini, Nokia telah memasukkan perkhidmatan HERE yang termasuk HERE Maps dan HERE Drive. Kedua-dua perkhidmatan ini tidak memerlukan sambungan data bila digunakan.

Sedangkan Nokia Lumia 720 akan dijual dengan harga RM 999, Lumia 520 pula akan dijual dengan harga RM 599 bermula dari bulan April di Lembah Klang. Manakala bagi kawasa-kawasan lain di Semenanjung Malaysia, ianya akan berada di pasaran pada bulan Mei. Telefon-telefon ini juga akan dijual di beberapa kedai terpilih sahaja di Sabah dan Sarawak.