Mualaf ingkar perintah mahkamah akan dipenjara, kata peguam

Putrajaya has failed Malaysian mothers, says Indira Gandhi

Peguam M Kulasegaran berkata mualaf Muhammad Ridzuan Abdullah akan dimasukkan ke dalam penjara sebaik saja polis menemuinya dan anak, Prasana Diksa.

Beliau berkata, itu adalah perintah yang diberikan kepada M Indira Gandhi daripada Mahkamah Tinggi supaya polis mencari Ridzuan yang merampas Prasana sejak 2010.

“Polis akan menempatkannya di penjara Tapah dan membawanya ke mahkamah bagi meminta penjelasan mengapa dia mengingkari hak penjagaan anak yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 2010,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan Indira sanggup membayar RM25 sehari bagi memastikan Ridzuan ke penjara dan seterusnya dibawa ke mahkamah.

Kulasegaran yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat berkata beliau difahamkan polis memulakan pencarian Ridzuan dan Prasarana di Ipoh sejak Ahad.

Bagaimanapun, bapa dan anak itu kini dilaporkan tinggal di Kota Bharu, Kelantan.

Kulasegaran berkata, ini berikutan arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengarahkan polis Perak menahan Ridzuan kerana melarikan Prasana, 6, daripada Indira.

Khalid sebelum itu berkata polis tidak akan mencampuri dua arahan mahkamah dalam kes hak jagaan anak yang berlainan agama tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Lee Swee Seng pada 11 Jun mengarahkan polis menahan Ridzuan dan mengembalikan Prasana kepada Indira.

Perintah itu disampaikan kepada Khalid pada petang Khamis.

Semalam, Khalid mengulangi pendirian untuk tidak patuh kepada arahan Mahkamah Tinggi ekoran pertindihan arahan daripada Mahkamah Syariah.

“Ia masih menjadi dua kes bertindih. Isu ini sedang diberi perhatian. Saya tak kata polis tak mengambil tindakan,” katanya.

Pada 30 Mei, Lee mendapati Ridzuan bersalah dan memberi masa seminggu kepadanya untuk mengembalikan Prasana kepada Indira atau berdepan hukuman penjara.

Bagaimanapun, Ridzuan yang menjaga Prasana sejak April 2009 tidak mematuhi perintah itu.

Pada 2009, dia mendapat hak penjagaan tiga anaknya, Tevi Darsiny, 16; Karan Dinish, 15; dan Prasana, 2, daripada Mahkamah Tinggi Syariah selepas memeluk agama Islam.

Pada tahun berikutnya, Mahkamah Tinggi memberi hak penjagaan anak kepada Indira.

Pada Julai tahun lalu, Lee memutuskan sijil memeluk Islam yang dikeluarkan kepada anak berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan. – 24 Jun, 2014.