Najib akan jumpa PM Belanda Rabu ini bincang hal MH17

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) akan melawat ke Belanda Rabu ini untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Mark Rutte di Hague bagi membincangkan perkara berkaitan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di timur Ukraine baru-baru ini.

Pertemuan bersama perdana menteri Belanda antaranya bertujuan membincangkan permintaan Malaysia agar Belanda membenarkan ahli patolgi negara ini membantu dalam proses mengenal pasti mayat penumpang pesawat terbabit.

Selain itu, perdana menteri juga akan membincangkan hal-hal akses keselamatan ‎yang penuh ke atas tapak pesawat terhempas itu.

"Akses penuh ke atas tapak pesawat itu dan kemampuan untuk mengumpul bahan bukti amat diperlukan agar pasukan antarabangsa dapat melengkapkan siasatan komprehensif mengenal pasti punca nahas dan siapakah bertanggungjawab‎," kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga menyatakan Najib juga akan melawat pusat forensik dan menandatangi buku takziah ketika lawatannya di Belanda, Rabu nanti.

Susulan daripada tragedi MH17, Malaysia berunding secara langsung dengan pemimpin pemisah, Alexander Borodai, pada 21 Julai lalu bagi membenarkan kesemua mayat mangsa dibawa dengan keretapi ke wilayah Ukraine di Kharkiv dan kemudiannya diterbangkan ke Amsterdam, Belanda.

Antara lain perjanjian itu juga menuntut kumpulan pemisah menyerahkan dua kotak hitam MH17 diserahkan bagi tujuan analisis dan penyiasat bebas antarabangsa dibenarkan memasuki kawasan nahas.

"Perjanjian Malaysia dengan pihak yang mengawal kawasan nahas mempunyai tiga elemen: penyerahan kotak hitam; pemulangan mayat penumpang; dan akses penuh kawasan nahas kepada penyiasat antarabangsa.

"Dua daripada tiga perjanjian sudah dipenuhi. Keutamaan saya kini memastikan bahagian ketiga daripada perjanjian mendapat penghormatan dengan memberikan penyiasat antarabangsa akses dan jaminan pada kawasan terbabit.

"Ini memerlukan kerjasama antara mereka yang mengawal kawasan nahas dan pasukan tentera Ukraine," katanya.

Pasukan Malaysia berpendapat sekurang-sukurangnya seramai 30 penyelidik diperlukan bagi menampung keseluruhan kawasan nahas berkenaan ini termasuk tiga penyiasat dari Belanda dan seorang dari Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Konflik berterusan antara Ukraine dan kumpulan pemisah menghalang pasukan siasatan antarabangsa untuk menyiasat di kawasan nahas yang dikawal oleh gerakan terbabit.

Dipercayai pasukan penyiasat Malaysia kini sedang dalam proses mengumpulkan kesemua laporan awal berdasarkan penemuan siasatan.

Apabila laporan itu‎ dimuktamadkan, Malaysia merancang akan kembali ke tapak nahas dengan kumpulan lebih besar dalam keadaan lebih selamat. – 26 Julai, 2014.