Najib berucap pada Perhimpunan Agung PBB

Menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan acara kemuncak lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Amerika Syarikat bermula Sabtu (Ahad, di Malaysia).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Najib dijadualkan menyampaikan pernyataan negara pada perbahasan umum Perhimpunan Agung PBB ke-68 pada 26 September.

Perdana menteri dijangka antara lain, berkongsi program transformasi ekonomi negara dan mendapatkan sokongan bagi pencalonan Malaysia untuk menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC), katanya semalam.

Di peringkat antarabangsa, beliau berkata Najib mungkin menyentuh mengenai kecaman Malaysia terhadap usaha untuk menukar pemimpin beberapa negara Islam yang dipilih secara sah, dengan cara yang menyalahi undang-undang serta mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan tiba di bandar raya ini pada Sabtu malam (pagi Ahad di Malaysia). – Bernama, 20 September, 2014.