Najib pengerusikan mesyuarat ke-4 majlis GSIAC di New York

Pelan Pembangunan Pendidikan Pengajian Tinggi jadi teras transformasi pendidikan negara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mempengerusikan mesyuarat tahunan ke-4 Majlis Penasihat Sains dan Inovasi (GSIAC) pada Rabu di New York Academy of Sciences.

Mesyuarat itu akan menumpukan pada matlamat Pembangunan Mampan Malaysia bagi 2030 untuk menghadapi cabaran negara, serantau dan global serta langkah untuk meningkatkan amalan terbaik Malaysia ke peringkat serantau dan global.

Perbincangan itu juga akan menumpukan terhadap usaha menggalakkan penyertaan sektor swasta terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam teknologi, menurut kenyataan bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan The New York Academy of Sciences, hari ini.

Agenda penting lain adalah untuk mengenal pasti teknologi strategik yang Malaysia patut melabur untuk jangka panjang, menurut kenyataan itu.

Perbincangan itu akan berlatarkan Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Sempena mesyuarat majlis itu, sesi ketua pegawai eksekutif akan membincangkan perspektif inisiatif Sains Untuk Tindakan (S2A) dalam memacu pembangunan industri dan daya saing global.

GSIAC, kerjasama antara MIGHT dan The New York Academy of Sciences, adalah cetusan idea Najib sendiri sebagai platform untuk memperkukuh rangkaian nilai sains dan inovasi Malaysia. – Bernama, 22 September, 2014.