Advertisement

Najib, Rosmah jangka tiba di Belanda esok dapat maklumat berhubung tragedi MH17

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di The Hague berhubung nahas MH17 apabila beliau tiba Khamis ini untuk melakukan lawatan kerja dua hari.

Najib dijadual tiba pada 8 pagi (2 petang di Malaysia) bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Duta Besar Malaysia di Netherlands, Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib berkata tujuan utama lawatan Najib adalah untuk mendapatkan maklumat terkini tentang urusan pengecaman mangsa tragedi itu serta penghantaran pulang mayat mereka ke tanah air.

Beliau memberitahu wartawan Malaysia di Amsterdam bahawa Najib akan mengadakan perbincangan dengan Rutte mulai 11.15 pagi (5.15 petang di Malaysia), sebelum berlepas ke Hilversum, tempat di mana mayat mangsa melalui proses pengecaman dan forensik.

Pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Mayat mangsa diterbangkan dari Ukraine ke Netherlands. Rakyat Belanda, sebanyak 193 orang, merupakan jumlah penumpang paling ramai dalam penerbangan itu.

Fauziah berkata Perdana Menteri juga akan menjadi hos majlis makan malam pada Khamis, sebelum mengadakan sidang media pada 8 pagi (2 petang di Malaysia) pada hari berikutnya.

Katanya, ini adalah lawatan kerja pertama Najib ke Belanda dan pemimpin Malaysia sebelum ini yang pernah melakukan lawatan ke Netherlands ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2005, dan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1986.

Fauziah berkata Malaysia adalah rakan perdagangan dan pelaburan terbesar Belanda dalam kalangan negara Asia Tenggara. – Bernama, 30 Julai, 2014.