Advertisement

Najib sampaikan sijil penghargaan kepada anggota pasukan DVI Malaysia

Najib sampaikan sijil penghargaan kepada anggota pasukan DVI Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan sijil penghargaan kepada 19 rakyat Malaysia yang membantu mengenal pasti mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Belanda.

Kalangan penerima termasuk pakar forensik daripada Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Sijil yang ditandatangani perdana menteri itu bertujuan mengiktiraf jasa bakti dan sumbangan mereka dalam misi mengenal pasti jenazah nahas MH17 sebagai sebahagian anggota Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Pasukan DVI Malaysia membantu proses penandaan dan pemindahan jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh. Selain 43 rakyat Malaysia, penumpang lain MH17 terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Ketua Pasukan DVI Malaysia Dr Mohd Shah Mahmood berkata pasukan DVI Malaysia mempunyai kemahiran yang setanding dengan pasukan forensik antarabangsa yang lain.

"Kelebihan pasukan DVI Malaysia adalah kita mempunyai seorang pakar tulang yang menjadi rujukan kepada pasukan forensik antarabangsa. Tulang yang dijumpai akan dirujuk kepada pasukan DVI Malaysia," katanya.

Sementara itu, Briged Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron yang terlibat dalam proses pengambilan mayat di tapak nahas di Ukraine dan proses pengecaman, berkata pasukan DVI Malaysia mendapat pengiktirafan pasukan DVI antarabangsa.

"Kita membawa peralatan paling moden dan pakar berpengalaman ke sana untuk melakukan proses pengecaman.

"Selain itu, cabaran terbesar adalah pasukan kami mempunyai had masa untuk melakukan proses pengecaman mangsa dan pada masa melakukan yang terbaik kerana satu dunia melihat kita melakukan proses pengecaman dan kecekapan kita," katanya. – Bernama, 17 September, 2014.