Advertisement

Najib tidak hormat mahkamah syariah dalam kes anak mualaf, kata Abim

Jihad, Isis topik hangat belia Malaysia, kata Abim

Cadangan Perdana Menteri agar kes perebutan hak penjagaan anak melibatkan mualaf Izwan Abdullah dan Muhammad Ridzuan Abdullah diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mengatasi kemelut tersebut tidak menghormati mahkamah syariah, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Presiden Abim, Amidi Abdul Manan (gambar) berpendapat cadangan tersebut dilihat tidak menghormati bidang kuasa mahkamah syariah serta menafikan keistimewaan mahkamah syariah dalam membicarakan kes yang tidak boleh dicabar oleh mahkamah sivil.

"Prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada mahkamah syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam.

"Ianya satu yang baik sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan syariah dalam negara.

"Namun, berdasarkan solusi yang dicadangkan menggambarkan seolah-oleh kerajaan tidak serius dalam mengangkat martabat Mahkamah Syariah di tempat yang sewajarnya yang dijamin oleh Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Amidi berkata, kedua-dua sistem mahkamah syariah dan sivil sewajarnya diharmonikan.

"Bagaimanapun, Abim melihat perbezaan yang ada pada amalan perundangan mahkamah sivil dan mahkamah syariah sepatutnya tidak ditajamkan," katanya.

Beliau berkata, senario hari ini menunjukkan beberapa peruntukan undang-undang yang wujud meletakkan status mahkamah syariah pada kedudukan janggal, terutamanya apabila kes melibatkan hubungan Islam dan bukan Islam.

"Abim percaya konflik akan dapat diselesaikan sekiranya mahkamah syariah membenarkan salah seorang pasangan bukan Islam untuk membawa kes mereka ke mahkamah syariah untuk mendapatkan keadilan.

"Kebenaran ini perlu kerana ia melibatkan hak seseorang yang merasakan diri mereka teraniaya," katanya.

Beliau turut berkata, peranan mahkamah syariah seharusnya dikembangkan hingga menjadi sandaran kepada bukan Islam untuk mendapatkan hak dan keadilan.

"Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan, pasangan bukan Islam sudah tentu akan membawa kes mereka ke mahkamah sivil kerana ia satu-satunya medium yang membolehkan mereka untuk memperoleh keadilan dan hak.

"Maka, sudah tentu persoalan keistimewaan bidang kuasa mahkamah syariah akan timbul apabila perintah yang keluar dari mahkamah sivil bercanggah dengan ketetapan mahkamah syariah," katanya.

Abim juga berpendapat wujud keperluan untuk hakim mahkamah syariah yang mengadili kes seumpama ini dilatih dan didedahkan dengan sistem undang-undang sivil, yang meliputi prosedur dan “substantive” termasuk kes yang menjadi “precedent”, serta peruntukan undang-undang sedia ada seperti Law Reform Act (LRA) 1976.

"Kerajaan khususnya perdana menteri mesti menunjukkan keikhlasan terhadap perundangan syariah samada yang sedang dilaksanakan dan yang belum dilaksanakan lagi.

"Persoalan maqasid syariah seperti yang diungkapkan oleh beliau apabila membicarakan persoalan undang-undang jenayah dalam Islam baru-baru ini memerlukan pembuktian yang jelas," katanya. – 14 Jun, 2014.