Advertisement

Najib tidak jawab isu MH370, manipulasi kenyataan saya, kata Anwar

Najib tidak jawab isu MH370, manipulasi kenyataan saya, kata Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Razak kerana memanipulasi kenyataannya boleh menyelesaikan insiden MH370 dalam masa sesaat.

Ketua pembangkang itu mengecam Najib yang cepat menjawab isu tersebut tetapi tidak pula pantas bertindak dalam menangani insiden kehilangan MH370.

"Najib tidak jawab isu yang timbul dalam kehilangan MH370, tapi beliau boleh pula cepat jawab mengenai sesaat ini," kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR, pagi ini.

Sepanjang kehilangan MH370, Najib tidak menjawab sebarang soalan dalam sidang media dan menyerahkan tanggungjawab kepada pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Anwar sebaliknya menafikan mengeluarkan kenyataan akan menyelesaikan insiden kehilangan MH370 dalam tempoh sesaat sekiranya menjadi perdana menteri.

"Najib putar belit kenyataan, menipu dengan menyalah tafsir kenyataan saya," kata Anwar.

Anwar berkata, teks asal yang diterjemahkan daripada bahasa Cina tersebut berbeza sama sekali dengan yang ditulis oleh media.

"Dalam teks asal bahasa Cina itu, saya kata akan ambil satu saat untuk pastikan penguatkuasaan yang perlu dilakukan untuk jamin keselamatan negara," katanya.

Anwar mendesak Najib supaya menjelaskan mengapa radar tentera udara tidak dapat mengesan sebaik sahaja pesawat MH370 berpatah balik dan mengambil tindakan sepatutnya.

"Perdana menteri harus jawab kenapa radar belanja ratusan juta di Gong Kedak, Kelantan sempadan Terengganu, Laut Cina Selatan gagal memberikan keterangan tersebut.

"Apa dengan membeli radar baru, kapal selam baru boleh selesaikan semua?" kata beliau lagi.

Anwar berkata sekiranya MH370 dapat dikesan berpatah balik awal, pesawat tentera boleh mengambil tindakan dengan mengiring pesawat komersil tersebut mendarat di lapangan terbang sepatutnya.

"Ini bukan isu MH370 sahaja, ini isu keselamatan negara juga.

"Kerajaan Umno dan BN sibuk mengejar projek dan kekayaan sehingga lupa keselamatan negara terancam kerana kecuaian mereka," kata beliau.

Anwar tidak menolak situasi lebih buruk akan berlaku sekiranya tiba-tiba pesawat komersil tersebut mengambil keputusan menyerang seperti serangan pengganas ke atas World Trade Center di Amerika Syarikat pada 9 September, 2001.

Perkara kedua yang membimbangkan Anwar adalah mengenai isu penggunaan pasport palsu untuk masuk ke dalam negara, di mana menimbulkan persoalan mengenai tahap pengawasan yang lemah oleh kerajaan Malaysia.

Anwar mempersoalkan mengapa sehingga hari ini pihak Malaysia Airlines (MAS) dan kerajaan masih tidak mendedahkan mengenai butiran kargo yang dibawa oleh MH370.

"Mengapa sehingga hari ini dokumen kargo tidak didedahkan kepada umum atau diberikan pihak bertanggungjawab.

"Saya tidak tahu mengapa mereka sangat berahsia dalam isu kargo ini," kata Anwar.

"Sikap bersembunyi dan berahsia tersebut menyebabkan berlaku wujudnya khabar angin dan teori mengenai kehilangan MH370,” kata Anwar.

Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat itu terbang di sepanjang laluan yang dikenali sebagai “koridor selatan” dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. – 16 April, 2014.