Advertisement

Negara-Ku cabar MCA, MIC, bantah Umno kekal Akta Hasutan

MCA dan MIC dicabar supaya menyatakan pendirian mereka membantah keputusan Umno mengekalkan Akta Hasutan 1948 tanpa berbincang terlebih dahulu dengan dua parti komponen utama Barisan Nasional (BN) itu, kata peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Penaung kepada gerakan Negara-ku itu berkata, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengubah sesuatu undang-undang di Perhimpunan Agung Umno kelmarin adalah tidak adil kerana diputuskan tanpa pengetahuan Kabinet.

"Saya cabar MCA, MIC nyatakan pendirian mereka. Kabinet tidak diberitahu tentang ini.

"Umno sesuka hati mengubah undang-undang sedia ada," katanya pada forum Kembalikan Negara-ku di Hotel Mandarin Court di Kuala Lumpur, malam tadi.

Najib semasa merasmikan perhimpunan tahunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini berkata, akta itu akan diperkukuh dengan menambah peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menuntut pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Katanya, keputusan dibuat selepas mempertimbangkan nasihat semua pihak termasuk akar umbi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersih 2.0 mempersoalkan justifikasi sokongan majoriti rakyat serta elemen lain yang membenarkan akta penjajah itu terus dikekalkan.

"Itu hanya kenyataan sahaja, tidak ada kajian atau kertas kerja yang menyokong dakwaan itu," katanya.

Katanya, tindakan itu tidak menjamin keamanan dan keharmonian negara terus kekal, tetapi cuma alasan untuk menunjukkan mereka mempunyai kuasa pemerintahan besar, pada masa sama mengenepikan suara rakyat.

Mengulas perjalanan Perhimpunan Agung Umno sejak awal minggu ini, Ambiga berkata setiap tahun rakyat semakin muak dengan kenyataan bersifat cauvinis perwakilan dan tidak menggambarkan semangat perpaduan Malaysia.

Malah, perhimpunan itu dijadikan sebagai medan menyerang hak dan kepentingan kaum lain, terutamanya masyarakat Cina dengan isu sekolah vernakular.

Sebaliknya berkata, pemimpin Umno sendiri yang perlu bertanggungjawab penuh kerana gagal memajukan Melayu sejak 57 tahun lalu, bukan menyerang dan menyalahkan pihak lain.

"Ramai orang muak dengan Perhimpunan Agung Umno. Saya fikir mereka tidak faham semangat masyarakat berbilang kaum kerana ada banyak lagi kebaikan dalam Malaysia," katanya.

Zaid berkata rakyat perlu mempunyai persefahaman antara bangsa dan agama bagi Negara-Ku untuk menjadi tidak relevan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 29 November, 2014.
Zaid berkata rakyat perlu mempunyai persefahaman antara bangsa dan agama bagi Negara-Ku untuk menjadi tidak relevan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 29 November, 2014.

Antara yang turut hadir forum malam tadi adalah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Sementara itu, Pengerusi Negara-Ku Zaid Kamaruddin berkata, ucapan perwakilan Umno membuktikan penubuhan gerakan mereka masih relevan untuk merapatkan perhubungan dan persefahaman antara kaum.

"Kita tahu cabaran kepada Negara-Ku amat besar. Apa yang kita mahukan rakyat sendiri berasa mampu untuk menentukan untung nasib mereka sendiri," katanya.

Sambil berseloroh, katanya penubuhan Negara-Ku hanya akan menjadi tidak relevan jika rakyat Malaysia sudah mampu merentasi fahaman perbezaan identiti dan bergerak bersama menentukan masa depan negara.

"Hasrat kami paling besar adalah menjadikan Negara-Ku tidak lagi relevan sebab rakyat Malaysia dah pandai jaga diri.

"Tetapi apa yang dicakapkan di PWTC nampak panggilan kita lebih wajar," katanya.

Seorang lagi ahli penal Profesor Dr Azmi Sharom (gambar) dari Universiti Malaya yang kini sedang mencabar Akta Hasutan di mahkamah berkata walaupun Pakatan Rakyat (PR) dilihat masih belum matang menjadi parti gabungan yang mampu memerintah negara, sekurang-kurangnya mereka tidak menggunakan isu perkauman berbanding parti komponen Barisan Nasional (BN) yang hanya mendiamkan diri apabila Umno mengguris kaum lain di Malaysia. – 29 November, 2014.