PKR ulang pendirian Wan Azizah calon tunggal MB Selangor, Azmin sokong

PKR ulang pendirian Wan Azizah calon tunggal MB Selangor, Azmin sokong

PKR mengulangi ketetapan mencalonkan presiden mereka Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Setiausaha PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pimpinan baru yang bermesyuarat semalam sebulat suara mencalonkan Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang juga bersetuju dengan pendirian parti itu.

“Majlis Pimpinan Pusat menegaskan sekali lagi keputusan yang dibuat pada 21 Julai bersetuju sebulat suara mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

“Azmin turut mengulangi sokongan beliau kepada Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal daripada PKR untuk jawatan menteri besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, PAS Selangor menghantar nama-nama calon daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Pakatan Rakyat (PR) untuk jawatan menteri besar baharu menggantikan Khalid.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, nama wakil rakyat itu dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipersetujui sebelum dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Di peringkat Selangor kita serah beberapa nama kepada pusat dan terpulang kepada PAS Pusat nama yang mereka hendak berikan kepada Sultan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini berkata parti Islam itu tetap mengemukakan 2 nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagaimana yang dititahkan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata PKR akan berbincang dengan PAS bagi menentukan calon yang akan dipilih mewakili PR untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

“Majlis Pimpinan Pusat juga menerima cadangan dari Majlis Pimpinan Negeri Kelantan untuk kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubur.

“Cadangan ini akan dibincangkan oleh PKR dengan PAS dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan keputusannya,” katanya.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun kerusi Pengkalan Kubor pernah ditandingi PKR, PAS berhasrat bertanding di kawasan itu kerana yakin meraih kemenangan. – 3 September, 2014.