Obama dijangka guna lawatan tingkat hubungan dengan Malaysia, Asean

Putrajaya’s credibility in MH370 search hangs over Obama visit, says report

Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Asia, termasuk Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina akhir bulan ini dijangka memberi fokus terhadap beberapa isu dua hala dan serantau.

Ketua Penolong Setiausaha Negara Amerika bagi Asia Pasifik di Jabatan Negara, Scot Marciel berkata: "Isu yang mungkin dibincangkan antara Presiden Obama dan Malaysia termasuk hubungan perniagaan, Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan perdagangan dua hala."

Bekas duta besar Amerika di Indonesia itu berkata demikian di luar kerangka satu persidangan pada Isnin, bertemakan 'Pengurusan Risiko di Asean: Peluang dan Cabaran', yang dihoskan bersama Majlis Perniagaan Amerika-Asean dan Dewan Perniagaan Amerika-Indonesia di Yale Club New York.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Obama ke Malaysia selepas kunjungan bekas Presiden Lyndon Johnson pada 1966.

Pada persidangan itu, Marciel memberi gambaran menyeluruh tentang keadaan di Asia Tenggara dan turut memperkatakan tentang peluang serta cabaran yang wujud di rantau Asean.

"Pertumbuhan perlahan China membuka peluang kepada negara anggota Asean dari segi pelaburan dan perdagangan. Asean adalah rantau yang sangat penting dan kami menyokong AEC (Komuniti Ekonomi Asean yang akan lahir pada 2015),” katanya.

Beliau juga begitu bersungguh-sungguh menjelaskan tentang kebaikan TPP – Malaysia adalah antara negara anggota Asean yang amat diharapkan menyertai kumpulan itu - yang beliau sifatkan sebagai "enjin pertumbuhan".

“Ia (TPP) penting bagi pertumbuhan dan kemakmuran rantau itu," katanya.

Sementara itu, beberapa pakar tentang Asean yang ditemui di luar persidangan itu berkata, Obama akan menyatakan sokongannya terhadap Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu pada September 2013.

Beberapa penasihat Obama tentu sekali ingin melihat terjalinnya hubungan strategik antara kedua-dua negara, seperti yang wujud antara Washington dengan Singapura dan Thailand.

Para diplomat Amerika juga menjangka Malaysia akan membincangkan langkah untuk meningkatkan hubungan pertahanan dengan Amerika.

Kedudukan penting Malaysia, seperti yang diakui golongan peniaga dan penggiat industri Amerika, semakin berkembang dari segi saiz dan kepentingannya di peringkat serantau.

Selain merupakan anggota berpengaruh dalam Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia dilihat sebagai sebuah negara Islam pelbagai budaya yang berpendirian sederhana.

"Kunci paling utama ialah kesederhanaan. Malaysia boleh menjadi rakan menarik jika ia dapat mengekalkan pendirian sederhananya dalam semua hal," kata seorang ahli perniagaan Amerika yang menghadiri persidangan itu.

Berapa pakar percaya kedua-dua pihak mungkin mengumumkan penubuhan pelbagai kumpulan kerja peringkat tinggi bagi menangani dan menyelesaikan isu tertentu berkaitan politik, ekonomi, keselamatan dan sosiobudaya. – Bernama, 16 April, 2014.