Advertisement

Operasi mencari pesawat AirAsia Indonesia disambung esok

Operasi mencari pesawat AirAsia Indonesia disambung esok

Operasi mencari dan mengesan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang akan diteruskan Selasa setelah operasi itu pada Isnin dihentikan menjelang malam.

Sekalipun terdapat laporan yang pesawat itu berkemungkinan berada di dasar laut, operasi SAL yang diketuai Indonesia, bersama Singapura dan Malaysia, masih belum dapat mempastikan lokasi sebenar pesawat.

Penerbangan QZ8501, sebuah Airbus A320-200 yang membawa 162 orang, berlepas pada 5.20 pagi Ahad dari Surabaya, Indonesia, dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi yang sama.

Ia akhir sekali mengadakan kontak dengan Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).

Awal hari ini, Indonesia menerima tawaran Singapura untuk menghantar dua pasukan pakar dan dua set pengesan 'underwater locator beacon' dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan

Singapura untuk membantu mengesan perakam data penerbangan pesawat hilang itu.

Tengah hari ini, Singapura menawarkan kelengkapan dan personel tambahan bagi membantu operasi AAIB, termasuk 'sidescan sonar system' dan kenderaan robotik kawalan jauh.

Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mengerahkan dua pesawat C-130 untuk operasi SAL pada Isnin, dengan yang pertama berlepas sekitar 6.30 pagi dan kedua sekitar tengah hari.

Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata RSAF merancang menghantar dua 'sorties' pada Selasa.

Kapal perang (RSS Supreme) Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan 'Missile corvette' (RSS Valour) tiba di kawasan pencarian dan menyertai operasi mencari dan mengesan.

'Landing ship tank' (RSS Persistence) juga berlepas pada petang Isnin untuk menyertai operasi.

Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia, juga menerima tawaran Singapura membekal kapal selam penyokong dan penyelamat (MV Swift Rescue).

Ia sedia untuk berlepas.

Ketika pencarian pesawat berkenaan diteruskan, Singapura menyediakan sokongan dan bantuan kepada waris terdekat penumpang.

Ini termasuk taklimat berkala oleh wakil-wakil dari AirAsia, Changi Airport Group (CAG) dan Kementerian Pengangkutan Singapura.

Waris-waris itu dibantu oleh kaunselor dan pegawai kebajikan dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan CAG serta staf dari AirAsia dan rakan lapangan terbang.

Ketika beberapa orang sanak saudara memilih untuk tinggal di rumah atau di hotel mereka, pegawai-pegawai kebajikan terus membekalkan mereka maklumat terkini dan bantuan.

AirAsia mengatur penerbangan 16 sanak saudara ke Indonesia pada malam hari Ahad, dan 11 orang lagi pada Isnin. – Bernama, 29 Disember, 2014.