Advertisement

PAC selesai laporan pembinaan klia2, sedia dibentang di Parlimen

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selesai mengadakan prosiding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan dijangka membentangkan laporan berkenaan pada sesi persidangan Dewan Rakyat bermula minggu depan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar, kanan), berkata jawatankuasa berkenaan semalam, memanggil semula Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mendapatkan maklumat tambahan berhubung pembinaan klia2 serta perkembangan terkini lapangan terbang itu.

Katanya, antara yang hadir dalam prosiding semalam adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Long See Wool dan Ketua Pegawai Operasi MAHB, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali.

“Walaupun, projek pembinaan klia2 ini, tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tetapi PAC berpandangan perlu memanggil semua pihak yang terbabit dalam pembinaan lapangan terbang ini, atas dasar kepentingan awam. Ia disebabkan projek ini, mendapat liputan meluas media arus perdana dan internet sehingga menimbulkan pelbagai persepsi serta pandangan daripada rakyat kepada kerajaan," kata Nur Jazlan.

Tambahnya, PAC memulakan prosiding klia2 pada 16 Januari lalu dengan memanggil Kementerian Pengangkutan sebelum meneruskannya dengan memanggil MAHB pada 1 April lalu.

Mengikut Nur Jazlan, berikutan banyak maklumat dalam prosiding kementerian itu dan MAHB membabitkan syarikat penerbangan murah, AirAsia Bhd, PAC memutuskan memanggil syarikat berkenaan pada 28 April lalu.

“Input serta pandangan daripada AirAsia Bhd yang juga pelanggan terbesar di klia2 adalah amat perlu dalam memastikan segala maklumat mengenai klia2 benar-benar telus dan benar.

“PAC kemudian berpandangan adalah perlu untuk memanggil semula Kementerian Pengangkutan dan MAHB semula semalam, bagi membolehkan jawatankuasa mendapat pandangan mereka atas beberapa maklumat yang diperoleh sepanjang prosiding KLIA2 yang lepas selain daripada orang awam,” katanya.

Nur Jazlan berkata, PAC perlu mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan sama ada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta, mengenai klia.

Ini bagi memastikan rakyat benar-benar faham mengenai isu pembinaan lapangan terbang berkenaan.

Beliau berkata, laporan PAC berhubung klia2 mempunyai segala maklumat mengenai pembinaan lapangan terbang itu secara komprehensif dan menyeluruh membabitkan segala

“Jawatankuasa akan berusaha menyiapkan laporan PAC untuk klia2 bulan ini, bagi membolehkan ia dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula 7 Oktober hingga 27 November depan, sekali gus menjadi dokumen awam untuk rakyat,” katanya. – 1 Oktober, 2014.