Pak Lah rai Aidilfitri bersama rakyat Malaysia di Melbourne

Pak Lah kata Najib tak bersalah kes Altantuya

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar) dan isteri Tun Jeanne Abdullah menyertai lebih 800 rakyat Malaysia, kebanyakannya pelajar, meraikan Aidilfitri di Melbourne pada Isnin.

Beliau yang berada di sini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, kelihatan gembira dapat bertemu dengan "orang kampung" di perantauan.

Konsul Jeneral Malaysia di sini Datuk Dr Mohd Raneez Yahaya berkata tetamu terutama penuntut Malaysia begitu teruja apabila dimaklumkan bekas Perdana Menteri itu akan meraikan Aidilfitri bersama mereka.

Sementara itu, umat Islam di Australia memulakan sambutan 1 Syawal dengan mengadakan solat hajat mendoakan mereka yang berada di kawasan konflik dan juga keluarga mangsa nahas penerbangan MH17.

Umat Islam berkumpul di masjid di seluruh negara pada awal pagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Sementara itu, Australian Associated Press dilapor memetik jurucakap Persatuan Muslim Lubnan sebagai berkata bulan Ramadan tahun ini bukan sahaja untuk beribadah dan bermuhasabah diri tetapi juga untuk bersedih.

"Di samping meraikan hari ini, ingatan kami adalah untuk penduduk Gaza, Syria dan Iraq serta keluarga warga Australia yang terkorban dalam nahas MH17," katanya.

Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine, dipercayai akibat ditembak.

Nahas mengorbankan kesemua 283 penumpang dari pelbagai negara termasuk 37 warga dan pemastautin tetap Australia. Turut terkorban 15 anak kapal. – Bernama, 28 Julai, 2014.