PAKAR LEBUH RAYA ANTARABANGSA BERHIMPUN DI JOHOR SEPTEMBER INI

JOHOR BAHARU, 17 Jun (Bernama) -- Kira-kira 600 peserta dari industri lebuh

raya dunia akan berhimpun pada Persidangan dan Pameran Lebuh Raya Antarabangsa

PSKLM 2013 (Piece 2013) di sini, dari 9 hingga 11 Sept ini.

Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM)

Datuk Noorizah Abd Hamid berkata persidangan bertema ''Lebuh Raya Abad Ke-21:

Memacu Masa Depan'' itu antara lain akan membincangkan trend dan cabaran terkini

lebuh raya, serta impaknya ke atas ekonomi dan persekitaran.

"Piece 2013 bertujuan mengongsikan pengalaman dan pencapaian Malaysia dalam

pembinaan lebuh raya serta penyelenggaraannya kerana negara ini terkenal dengan

jaringan lebuh raya yang panjang dan berkualiti tinggi," katanya pada sidang

media, di sini hari ini.

Menurutnya sepanjang persidangan itu, sebanyak 28 sesi perbincangan dan

bengkel disusun sebagai pentas kepada 80 pakar lebuh raya berkongsi inovasi

terkini mereka.

Empat fokus utama pada Piece 2013 ialah dasar dan kewangan, pengurusan aset,

teknologi hijau dan alam sekitar, dan keselamatan jalan raya, katanya.

Beliau sebelum itu hadir pada prapelancaran persidangan berkenaan yang

dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Johor Datuk Hasni Mohammad.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ismail Md Salleh

dan Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar

Datuk Benjamin Hasbie.

-- BERNAMA

FJM FJM NM

Loading...