Pakatan batal ‘konsensus nasional’ dengan BN menjelang Hari Penamaan Calon PRK Kajang

Polis soal Anwar kenyataan menghasut tiga tahun lalu

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat (PR) membatalkan tawaran konsensus nasional antara Pakatan Rakyat (PR) dengan Barisan Nasional (BN).

Anwar dengan nada tegas di pentas ceramah kempen di Kajang malam tadi berkata, adalah lebih baik mereka menentang BN daripada bekerjasama dengan mereka disebabkan kezaliman BN terhadapnya.

"Dulu kita cadang dialog untuk bincang agama, rasuah, kaum. Kita ulang lagi dengan konsensus nasional.

"Sekarang tiada lagi. Kita lawan. Kerana apa, Biadap! Ini soal badan kehakiman, bukan Anwar," kata Anwar di hadapan penyokongnya dalam satu ceramah di Kajang malam tadi.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Hukuman berkenaan turut tidak melayakkan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan 23 Mac depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai Hari Penamaan Calon.

PKR kemudiannya memutuskan untuk menggantikan Anwar dengan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Anwar dalam ceramahnya turut berkata, meletakkan Presiden PKR itu umpama meletakkan dirinya sendiri bertanding di kerusi yang dikosongkan Lee Chin Cheh dari PKR itu.

"Azizah bertanding seolah-olah Anwar juga bertanding di Kajang," katanya.

"Bila saya isytihar perang dengan pemimpin Umno dan BN, walaupun saya tahu di bawah (penyokong Umno), saya rayu orang Umno hijrahlah (ke PR).

"Saya perang dasar. Manusia ini ada maruah. Pertahankan maruah saya tanggungjawab saya dalam syariah Islam," katanya.

Wan Azizah dalam ceramahnya sebelum itu berkata, hukuman yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadap Anwar pada Jumaat itu umpama mengembalikan semangat "Reformasi" yang dipeloporinya pada 1998 ketika Anwar dipenjarakan atas kesalahan rasuah.

"Hari ini kita jadi mangsa, janganlah kita biarkan. Ya Allah, dengan kudrat saya ini, kita bawa kudrat yang ada ini untuk generasi akan datang. Marilah bersama-sama," katanya menyeru pengundi Kajang untuk memilih beliau.

"Ujian saya, ujian Anwar. Keyakinan itu kerana sokongan tuan puan. Apabila beliau dijatuhkan hukuman, kembali lagi semangat 1998, kita teruskan perjuangan kita bersama.

"Memang air mata membasahi pipi. Tetapi saya kesatkan, keringkan. Saya kuatkan semangat. Kita bangun dan teruskan, kita akan menang," katanya.

Wan Azizah bakal bersaing dengan calon BN dari MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dalam PRK DUN Kajang. – 11 Mac, 2014.