Advertisement

Utusan Malaysia beri amaran kepada Umno tentang “Tsunami Melayu”

Utusan Malaysia beri amaran kepada Umno tentang “Tsunami Melayu”

Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat berkata PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih memperjuangkan Melayu selepas ini bagi menyaingi Umno dalam mendapatkan sokongan majoriti kaum itu.

Katanya, selepas kejutan"Tsunami Cina" pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan tsunami Melayu pada PRU14.

“Awang percaya PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih perjuangkan Melayu bagi menyaingi Umno mendapatkan sokongan majoriti.

“Selepas kejutan 'Tsunami Cina' pada PRU13 gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan 'Tsunami Melayu' pada PRU14,” katanya seperti dilapor akhbar milik Umno itu edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.

Awang turut mengingatkan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno agar jangan lupa diri dan dasar perjuangan parti.

Katanya, ahli MT akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahankan kuasa politiknya semasa PRU14 kelak.

“Barisan MT jangan terlupa diri dan perjuangan. Merekalah yang akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahan kuasa politik Melayu selepas ini.

“Waspadalah. Walaupun Umno kuat ia tidaklah kebal. Berjihadlah untuk menjadi parti yang disayangi terutama orang Islam, Melayu dan Bumiputera. Tiada pilihan,” katanya.

Najib sebaik sahaja mendapat majoriti mudah semasa PRU13 lalu tidak menyangka “Tsunami Cina” menyaksikan kehilangan undi komuniti tersebut dengan drastik.

Beliau turut menyalahkan pembangkang di atas tsunami berikut, mengatakan sentimen kaum dimainkan untuk memenangi undi etnik kedua terbesar itu. – 8 Disember, 2013.