Advertisement

Pakatan gesa Najib tegas dalam isu waran tangkap Qaradawi, kata Anwar

Pakatan Rakyat (PR) menggesa pertimbangan serius Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan kerajaan Malaysia mengambil satu pendirian tegas membantah tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia Yusuf al-Qaradawi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan bagi pihak PR berkata, tindakan ini keterlaluan malah secara sentimental turut memberi kesan kepada Malaysia.

Ini kerana Malaysia pernah menobatkan Qaradawi sebagai tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabanga pada 2009 serta anugerah Ijazah Kehormat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 1996.

"Sumbangan beliau dalam dunia Islam tiada taranya, maka sewajarnya Malaysia selaku model negara Islam mendepani inisiatif mengasak Interpol agar bersikap profesional ke atas Sheikh Yusuf al-Qaradawi, menjadi alat sang penguasa desperado," kata Anwar dalam kenyataannya hari ini.

Qaradawi bersama 40 lagi pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir dikenakan kod merah oleh Interpol ekoran permohonan kerajaan Mesir pimpinan Perdana Menteri Jeneral Fatah Al Sisi.

Ini berikutan dakwaan kerajaan Mesir mereka bertanggungjawab ke atas beribu kematian semasa tindakan tentera pimpinan Al Sisi menjatuhkan kerajaan Mohamad Morsi yang dipilih melalui pilihan raya bebas sebelum itu.

"Malam tadi saya sempat menelefon Qaradawi untuk mendapatkan maklumat terkini bersabit tindakan Interpol," kata Anwar dalam kenyataannya.

Anwar berkata dunia Islam antarabangsa terkejut dengan tindakan Interpol yang mengeluarkan waran tangkap ke atas beliau, atas justifikasi kaitan beliau dengan aktivisme Ikhwanul Muslimin di Mesir.

"Alhamdulillah, Qaradawi tetap bersemangat dan sekelumit pun tidak tergugat dengan intimidasi ini," katanya.

Selain itu, katanya, Qaradawi terharu dengan keprihatinan dan solidariti masyarakat Islam antarabangsa.

“Beliau sempat meminta saya menyampaikan salam kepada sekalian rakyat Malaysia dan menghargai sokongan yang diberikan.

"Saya merakamkan perasaan dukacita dan kekesalan terhadap kezaliman Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di Mesir atas tindakan ke atas seorang ulama muktabar yang disanjung dunia Islam," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Interpol menarik balik notis merah yang dikeluarkan ke atas Qaradawi kerana tindakan tersebut tidak berasas dan hanya menunjukkan Interpol diperalat diktator yang zalim. – 22 Disember, 2014.