Panel 7 hakim dengar permohonan gereja Katolik di Mahkamah Persekutuan

Not about better leaders, it’s about leadership

Panel tujuh hakim hari ini mendengar permohonan kebenaran untuk merayu yang difailkan Gereja Katolik dalam kes Allah, yang bermula pagi ini di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Mengetuai panel itu ialah Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Panel turut disertai Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Hwa.

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada permohonan Gereja Katolik mendapatkan kebenaran untuk merayu akan diberikan, lima bulan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk melarang penggunaan kalimah Allah di dalam Herald.

Sekiranya permohonan itu ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober 14 tahun lalu dianggap betul daripada segi fakta dan undang-undang, dan pihak gereja dilarang membuat rayuan lagi.

Permohonan rayuan dan kebenaran untuk merayu lazimnya didengar panel yang dianggotai lima hakim.

Ini merupakan kali ketiga dalam sejarah mahkamah panel tujuh hakim mendengar permohonan. Dua kes sebelum ini ialah kes pengedaran dadah yang melibatkan beberapa prinsip penting perundangan.

Pada awal Februari, pihak gereja menulis kepada Arifin memohon supaya panel penuh yang terdiri daripada hakim Islam dan bukan Islam mendengar hujah di mahkamah hari ini.

Gereja juga meminta supaya panel dianggotai hakim yang mencerminkan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, memandangkan isu utama kes berkenaan.

"Ini kerana peruntukan asas perlembagaan berkenaan agama persekutuan, kebebasan minoriti agama dan kebebasan bersuara yang mempunyai kesan mendalam terhadap rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama, akan dibangkitkan," menurut surat itu yang diperolehi The Malaysian Insider.

Gereja melalui peguamnya mengemukakan 26 soalan tentang Perlembagaan, undang-undang tadbir dan kuasa mahkamah untuk membenarkan menteri dalam negeri mengharamkan sesuatu perkataan keagamaan.

Pada 14 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang penerbitan mingguan Katolik, Herald, daripada menggunakan kalimah Allah.

Ini selaras dengan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penerbitan bukan Islam daripada menggunakan empat perkataan, iaitu Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah.

Dalam penghakimannya, Apandi berkata, larangan itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan mencegah sebarang kekeliruan di kalangan umat Islam.

Beliau juga memutuskan bahawa sekiranya penganut Kristian dibenarkan menggunakan perkataan tersebut, akan mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Dalam penghakiman mahkamah turut menyatakan larangan itu adalah munasabah kerana Allah bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan Kristian.

Keputusan itu mengundang bantahan kumpulan Kristian dan bukan Islam lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beberapa pertubuhan menghantar wakil mereka sebagai pemerhati di mahkamah hari ini, termasuk MCA yang menhantar bekas naib presidennya Gan Peng Siew, dan Majlis Peguam yang diwakili peguam Syahredzan Johan.

Beberapa wakil majlis agama dan pertubuhan Islam yang membantah permohonan gereja juga hadir hari ini.

Pertubuhan lain yang menghantar wakil pemerhati termasuk Commonwealth Law Association, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), World Council of Churches, Persekutuan Kristian Malaysia, Majlis Gereja Malaysia, Sidang Injil Borneo, dan Persatuan Gereja Sarawak dan Majlis Gereja Sabah. – 5 Mac, 2014.